AGENDANASIONAL

Dialog awam ganti hukuman mati mandatori diteruskan

SHAH ALAM, 19 NOV: Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori akan meneruskan dialog awam (town hall) di Kelantan, Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan pandangan polisi penghukuman terbabit.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) dalam kenyataan memaklumkan setakat ini tiga sesi dialog sudah dilangsungkan di Pulau Pinang, Putrajaya dan Johor Bahru.

“Sesi dialog di Sabah akan berlangsung pada 20 November di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah manakala Sarawak pada 21 November di Hotel Grand Continental Kuching, Sarawak.

“Bagi sesi di Kelantan, ia akan diadakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu pada 28 November.

“Orang ramai dijemput hadir ke sesi dialog awam terbabit untuk memberi pandangan terhadap hukuman gantian mati mandatori,” katanya.

Dialog awam membabitkan pihak berkepentingan termasuk kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan orang awam dilakukan selepas jawatankuasa menetapkan tempoh masa kajian selama tiga bulan bermula 20 September hingga 20 Disember 2019.

Untuk sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, hubungi Hadiyatul Hayati Khalil di talian 03-8885 1208 atau emel [email protected].


Pengarang :