Orang ramai membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam pada 6 Mei 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Dilema kempen utamakan produk Muslim

Pemimpin bukan Islam dan menteri tidak selesa dengan kempen ini, Utamakan Produk Muslim (BMF), yang dilancarkan beberapa bulan lalu.

Pertengahan September lalu, hasil kempen berkenaan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa beberapa pasar raya Muslim sekitar Lembah Klang meningkatkan jualan tiga kali ganda kepada RM150,000 sehari.

Kempen yang riuh ini, khususnya di media sosial, menarik orang ramai menyertai laman Facebook Persatuan Ekonomi Muslim Malaysia sehingga ia berjaya mengumpul sejuta ahli dalam masa tidak sampai sebulan.

Bagaimanapun, dalam gambaran lebih besar, kempen “utamakan produk Muslim” atau “boikot produk bukan Islam” menimbulkan beberapa kemelut dalam kalangan pengikutnya yang bersemangat mahu ia dijayakan.

Hakikatnya pengeluar kecil, usahawan peringkat pertengahan dan saudagar besar selama ini menghasilkan barangan keperluan Muslim. Malah, merekalah yang banyak menghasilkan produk halal dunia!

Dalam rantaian pengeluaran, mereka berada di setiap peringkat: Daripada input pertanian seperti baja dan racun kepada pengangkutan untuk ke pasar. Bahkan, makanan proses untuk anak-anak kita sebahagian besarnya dibekal oleh mereka.

Di negara kita, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), lebih 60 peratus sijil halal dimohon oleh syarikat multinasional yang dikuasai bukan Muslim.

Menggiurkan pengguna Muslim

Di Asia Tenggara, bukan hanya ekonomi Malaysia dipacu oleh peniaga bukan Melayu. Ekonomi negara Indonesia, Thailand dan Filipina juga sudah puluhan tahun dikuasai etnik “Cina seberang laut” walau jumlah mereka minoriti sahaja.

Sterling Seagrave dalam karyanya 25 tahun lalu, “Lords of the Rim: The Invisible Empire of the Overseas Chinese” (terjemahan: Cina: Penakluk Bisnes Lautan Pasifik) menjelaskan perihal itu sejelas-jelasnya.

Bagaimanakah penduduk peribumi, termasuk orang Islam, mampu memecahkan penguasaan ini jika mereka tidak mampu berdiri sendiri? Misalnya, permainan harga dan kemudahan kredit, apakah risikonya kepada usahawan Islam?

Ambil contoh lambakan barangan murah yang dibekalkan dari China. Ia bukan hanya menggiurkan pengguna Muslim di Malaysia, malah syarikat-syarikat besar dunia juga mencari keuntungan dengan bergantung pada usahawan republik berkenaan.

Usahawan China dapat menghasilkan barangan dengan murah, ada waktunya tidak menjejaskan kualiti, yang dapat dieksport dengan harga rendah pula. Kenapa usahawan Muslim di serata dunia gagal memainkan peranan ini?

Mampukah kempen kecil-kecilan ala Utamakan Produk Muslim (BMF) ini menggerakkan strategi pembinaan rantaian pengeluaran ini, khususnya dalam bidang makanan halal? Bolehkah kita menyediakan dengan banyak, bermutu dan murah?

Muslim atau bukan, hakikatnya kegiatan ekonomi ini saling berkaitan dan berangkaian. No man is an island, kata orang. Pengguna akan mencari produk yang memuaskan seleranya dan juga memenuhi kehendak poketnya walau dari mana sumbernya.

Mungkin ada sejumlah pengguna yang digerakkan oleh sentimen agama atau pertimbangan politik. Namun, umumnya, rata-rata pengguna memilih berdasarkan keupayaan pendapatan masing-masing. Muslim atau bukan, yang penting, alah membeli menang memakai.

Margin untung kecil

Kemelut ini dilema paling utama bagi usahawan Muslim dan juga pendukung BMF. Apakah ia hanya kempen bermusim yang digerakkan oleh sentimen sementara, sekadar hangat-hangat tahi ayam? Atau, ia bakal menjadi garis permulaan sebuah gerakan menyusun ekonomi ummah?

Jika peniaga Muslim menyediakan makanan halal kepada pengguna seagama dengannya, apakah ini dinamakan kempen BMF itu? Peniaga itu pula, sebagai pengguna yang membeli daripada pembekal, apakah tidak perlu berpegang pada BMF?

Dilema ini sangat mendesak difikirkan oleh pendukung BMF. Yakni, siapakah yang perlu mengamalkan BMF: pembeli akhir yang perlu mengamalkannya atau semua peringkat rantaian perniagaan ini perlu mengamalkannya?

Namun, seperti dihujahkan tadi, rantaian pengeluaran ini tidak dikuasai sepenuhnya oleh peniaga Muslim.

Di peringkat pemborong, sebahagian besarnya dikuasai bukan Muslim atas beberapa faktor, misalnya kekuatan modal, kemudahan kredit dan juga “kepercayaan” dalam kelompok-kelompok “guanxi” mereka (meminjam analisis Seagrave).

Industri logistik dan jaringan pemasaran juga sudah sekian lama dikuasai oleh bukan Muslim. Peniaga Islam selalunya berada di bahagian hujung rantaian ini, sekadar peruncit yang mendapat margin untung yang paling kecil.

Apakah margin yang kecil mampu menguatkan ekonomi ummah seperti dihasratkan dalam kempen BMF? Katakan, akibat kempen tersebut, lebih ramai pengguna Muslim bergantung pada peruncit seagama dengannya, apakah cukup jumlah mereka ini mengayakan peniaga?

Dilema ini akan berpanjangan selagi rantaian pengeluaran ini tidak diatasi. Selagi peniaga Muslim hanya memasak nasi goreng di dapur tetapi kuali, bawang, senduk, sayur, bahan perisa, pinggan mangkuk dan kerusi meja dikuasai orang lain.

Menguasai semua bidang

Namun, bagaimana mungkin rantaian ini dapat dihasilkan jika kempen seumpama tidak mampu menumpukan perhatian pada soal-soal yang lebih utama dan asasi: dana, teknologi, keusahawanan, kemahiran dan pembiayaan.

Mungkin, kita boleh kaitkan dilema-dilema utama kempen BMF ini dengan ucapan tajam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kongres Maruah Melayu pada awal bulan ini.

“Saya percaya orang Melayu tidak kurang kebolehannya, mereka boleh buat segala-galanya dengan baik. Tetapi antara boleh buat dan hendak buat, terdapat perbezaan yang amat ketara.

“Mereka boleh buat, tetapi mereka tidak mahu buat, maka tidak berlakulah kerja itu. Sebab itu yang paling utama ialah kesanggupan kita, bertungkus lumus untuk memulihkan semula maruah kita menerusi pencapaian dalam semua bidang,” katanya.

Menguasai semua bidang agar tidak bergantung pada orang lain, pesan perdana menteri, asas menjaga maruah bangsa. “… Sumpah itu hendaklah disusuli dengan kesanggupan bekerja, mengambil balik kerja yang diberikan kepada orang lain,” pesan Dr Mahathir.

Jika BMF sekadar menggalakkan pengguna akhir “berkorban” duit poket mereka, walau ada kalanya lebih mahal, kempen ini hanya mengayakan usahawan-usahawan kecil Muslim. Sementara saudagar besar senang-lenang terus berniaga seperti biasa.

Suka atau tidak, dilema kempen ini menguji semua pendukungnya: Apakah Muslim ini bertindak berasaskan keperluan strategik dengan rasional? Atau mereka hanya melatah, terbakar sentimen dek keserabutan isu politik negara saat ini.


Pengarang :