Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia pada 22 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir sedia berdepan usul undi tidak percaya

BANGI, 22 NOV: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau sedia berdepan dengan usul undi tidak percaya, kerana percaya beliau mempunyai sokongan kuat.

Beliau berkata, sepanjang pengetahuannya, beliau pada masa ini menerima sokongan termasuk daripada pembangkang iaitu UMNO dan PAS.

“Apa yang saya tahu, PAS juga kata sokong saya, terima kasih. UMNO berkata mereka juga sokong saya, terima kasih. Saya tidak tahu siapa yang tidak sokong saya, tetapi jika mereka tidak sokong saya, mereka sentiasa boleh bawa usul undi tidak percaya terhadap Perdan Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu persidangan media di sini hari ini, semasa dirujuk wartawan mengenai cadangan oleh seorang pemimpin UMNO supaya Dr Mahathir membentuk ‘kerajaan perpaduan’ untuk terus menguasai Putrajaya.

Dr Mahathir yang terdahulu merasmikan Konvensyen Alumni ‘Sekolah Kepimpinan Masa Hadapan’ (MFLS) turut memberikan respons terhadap gesaan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, agar memilih sama ada bergabung dengan UMNO atau DAP.

“Kalau dia tidak rosakkan UMNO, saya akan pilih UMNO, tetapi dia dan kawan-kawan dia, Datuk Seri Najib (Tun Razak) guna UMNO untuk cari duit, takkan saya nak cari parti macam itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau telah bertanya kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam, mengenai perjumpaan dengan beberapa anggota Parlimen termasuk daripada UMNO di kediamannya di Putrajaya pada Isnin lepas.

“Saya tanya Azmin apa dia bincang? Dia (Azmin) kata orang UMNO, mereka dah hilang arah parti dan tidak tahu apa nak buat. Jadi mereka tanya, sama ada nak masuk parti lain atau tidak, ada juga yang buat kenyataan mereka sokong kepimpinan Dr Mahathir,” kata beliau yang juga adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Beliau (Azmin) memainkan haknya sebagai Timbalan Presiden (KEADILAN), dia berhak untuk bertemu dengan sesiapa sahaja, kalau parti dia tidak setuju beritahulah dia, Mohamed Azmin bukan dari parti saya,” katanya semasa ditanya adakah wajar bagi Azmin mengadakan pertemuan itu.

Ditanya selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), adakah beliau akan menasihati KEADILAN agar tidak menggembar-gemburkan masalah dalaman parti mereka, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan mencampuri urusan parti-parti lain walaupun mereka bernaung di bawah PAKATAN.

Mengenai maklumat yang disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya mengenai ada anggota Kabinet yang menyalahguna kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek, Dr Mahathir berkata, menteri berhak memberikan projek di dalam kawasan Parlimen mereka.

– BERNAMA


Pengarang :