Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) ketika sesi sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Yayasan Perdana semalam. Turut sama Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dr Mahathir terkejut Najib terkejut

PUTRAJAYA, 12 NOV: “Saya terkejut yang dia terkejut,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad susulan reaksi ‘terkejut’ Datuk Seri Najib Razak selepas diperintahkan membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.

Katanya perbicaraan bekas Perdana Menteri itu mengambil masa berbulan-bulan dengan mematuhi peraturan undang-undang.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, malam tadi, Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu berkata Najib melalui perbicaraan yang baik, malahan dibenar ikat jamin.

“Dia diikat jamin, pergi berkempen. Dia mengalami sakit mata tetapi bila berkempen okay sahaja, bila ke mahkamah tak boleh (menghadiri perbicaraan).

“Semua karut-marut ini yang kita dapat daripada dia susulan kita berlembut dan mematuhi undang-undang,” kata beliau.

Najib diperintah membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng membabitkan RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Menurut peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini kerana menjangkakan beliau dibebaskan bagi semua pertuduhan pada akhir kes pendakwaan.

Mengenai dakwaan beliau campur tangan dalam perbicaraan Najib, Dr Mahathir menafikan dakwaan itu dan berkata : “Saya tidak pernah campur tangan dengan mahkamah. Pada waktu saya, mahkamah membuat keputusan berhubung parti saya sebagai tidak sah dan saya tidak membantah. Saya ikut dengan cara betul.

-BERNAMA


Pengarang :