AGENDA NASIONAL

Dua remaja didakwa bunuh Mohammad Aimin

TEMERLOH, 15 NOV: Dua remaja masing-masing berusia 13 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membunuh Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, yang ditemukan dalam keadaan lemah di sebuah pusat tahfiz di sini, Khamis lepas.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh yang bertubuh kecil itu dibacakan di hadapan Majistret Ti Pei Si dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup hari ini.

Kedua-dua mereka sekadar mengangguk faham akan pertuduhan yang menyatakan mereka membunuh Mohammad Aimin, antara 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, 7 November lepas, di asrama Maahad Tahfiz Nahdah Syubban Addiniyah, Kampung Kuala Kaung di Lanchang, di sini.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh yang memakai baju-T merah dan berseluar sukan itu tidak diwakili peguam dalam prosiding yang turut dihadiri ibu bapa mereka.

Ti menetapkan 19 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan untuk tertuduh melantik peguam.

Pada 8 November lepas, media melaporkan Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lanchang sekitar 1.30 tengah hari, selepas dibawa oleh warden wanita pusat tahfiz itu yang menemui mangsa di asrama tersebut.

Bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini, mengesahkan kematian Mohammad Aimin disebabkan trauma akibat permukaan atau objek tumpul pada dada dan abdomen mangsa.

Mangsa difahamkan baru dihantar ke pusat tahfiz itu sekitar pertengahan Oktober lepas, bersama-sama abang tirinya berusia 13 tahun.

-BERNAMA


Pengarang :