Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah perkenan melawat pameran lukisan di Majlis Perasmian Pameran Senilukis Bertemakan Masjid – MIHRAB bersempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor ke-74 di Whitebox @ MAP, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada 2 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

DYMM Sultan berkenan rasmi MIHRAB – Pameran Seni Lukis Bertemakan Masjid

KUALA LUMPUR, 2 NOV : Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan perasmian MIHRAB – Pameran Seni Lukis Bertemakan Masjid di WhiteBox, Map Publika Solaris Dutamas, di sini, hari ini.

Turut mengiringi baginda Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin dalam titah ucapannya menzahirkan syabas kepada Segaris Art Center di bawah pengurusan UiTM Art and Design Sendirian Berhad kerana berjaya menganjurkan pameran berkenaan.

“Beta juga merakamkan penghargaan kepada para karyawan tempatan yang turut serta menjayakan pameran ini terutamanya sumbangan mereka dalam menghasilkan karya seni sekali gus memartabatkan keindahan seni bina Islam yang terdapat di masjid di negeri ini.

“Sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, adalah menjadi hasrat beta untuk terus berusaha mencari peluang memelihara dan memartabat warisan kesenian Islam di negeri ini supaya ia dapat dihayati serta diwarisi oleh generasi masa depan. Alhamdulillah hasrat beta termakbul,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan di Majlis Perasmian MIHRAB – Pameran Seni Lukis Bertemakan Masjid di WhiteBox, Map Publika Solaris Dutamas, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, idea pemilihan masjid sebagai tema pameran seni lukis adalah datang daripada hasratnya sendiri.

“Seperti kita sedia maklum, masjid yang terdapat di Selangor bukan sahaja mempunyai keunikan daripada segi seni bina malahan kaya dengan sejarahnya yang tersendiri.

“Institusi masjid di Selangor memainkan peranan penting sebagai pusat penyebaran syiar Islam sejak beratus tahun dahulu dan hari ini kita bersama dapat lihat peranan masjid semakin meluas sejajar peredaran zaman serta keperluan semasa.

“Justeru, beta percaya insiatif penganjuran pameran seperti ini sungguh besar ertinya kepada umat Islam di Selangor kerana ia adalah satu pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan masjid sejak dulu hingga hari ini dalam membentuk masyarakat harmoni,” titahnya.

Baginda turut berharap pameran itu dapat diadakan pada setiap tahun sempena Hari Keputeraanya dengan menampilkan tema berbeza.

“Beta percaya dengan adanya peluang sebegini lebih ramai karyawan seni tempatan akan muncul menerusi karya terbaik sekali gus dijadikan rujukan oleh anak cucu pada masa akan datang,” titahnya.


Pengarang :