Barisan penaja bergambar sebelum tayangan filem animasi Ejen Ali The Movie di GSC Midvalley, Megamall pada 19 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Ejen Ali The Movie sasar kutip RM20 juta

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Primeworks Studios selaku penerbit filem animasi Ejen Ali The Movie menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM20 juta menerusi tayangan filem itu yang bakal ke layar perak secara serentak di tiga buah negara mulai 28 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, kualiti grafik dihasilkan pasukan kreatif Wau Animations diharap mampu memancing perhatian penonton, selain menjangkaui harapan peminat tegar siri animasi popular berkenaan.

Katanya, pihaknya mahu menutup tirai tahun ini dengan mendominasi animasi tempatan di semua pawagan, sekali gus membawa industri perfileman Malaysia ke peringkat lebih tinggi,

Ahmad Izham Omar ketika ditemui selepas tayangan filem animasi Ejen Ali The Movie di GSC Midvalley, Megamall pada 19 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Walaupun dijangka bersaing dengan filem animasi hebat lain yang akan ditayangkan pada tarikh hampir sama dengan filem ini, namun saya yakin Ejen Ali memiliki peluang besar untuk menarik bukan sahaja kanak-kanak, tetapi semua peringkat lapisan umur.

“Malah, kita mendapat keyakinan daripada pihak pawagam untuk tayangkan filem ini seperti ketetapan tarikh itu kerana semua orang tidak menonton satu filem sahaja, mungkin tiga atau empat filem.

“Sempena musim cuti persekolahan ini, kita harap ia dapat membantu sekurang-kurangnya untuk berada dalam kedudukan tiga terbaik filem animasi memandangkan Ejen Ali ada kekuatan tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tayangan perdana filem itu, di Midvalley, di sini malam tadi yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin.

Sementara itu, Usamah yang juga pencipta watak animasi Ejen Ali menghargai sokongan padu diberikan peminat tegar yang sentiasa memberi semangat untuk mencapai penanda aras tinggi bagi filem terbabit.

“Kita berharap supaya peminat filem akan ke pawagam untuk menyokong filem Ejen Ali yang akan ditayangkan pada musim cuti sekolah nanti,” katanya.

Buat julung kali, filem animasi membabitkan kos RM6.5 juta ini menjadikan single Bukalah Matamu nyanyian Aisyah Aziz yang dilancarkan pada 20 September lalu sebagai runut bunyi, manakala lagu ‘Kita Jaga Kita’ nyanyian artis hip hop tersohor, Altimet bersama Curley dan Malik Abdullah sebagai lagu tema kedua filem.

Filem berdurasi 97 minit ini mengisahkan kanak-kanak berusia 12 tahun iaitu Ali yang direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan untuk melindungi sebuah kota futuristik.

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukan satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa dikenali sebagai Infinity Retinal Intelligence System (IRIS) yang diubah suai menjadi IRIS Neo.

Pernah meraih lebih 2 juta tontonan, Ejen Ali The Movie bakal dikuasakan oleh Tenaga Nasional Berhad yang melancarkan misi di 160 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.


Pengarang :