Datuk Seri Salahuddin Ayub melihat replika hidupan ikan kerapu dan udang ketika lmelihat persiapan terakhir Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Angsana Mall Johor Bahru hari ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Eksport ikan selar, kembung dihad ketika tengkujuh

JOHOR BAHRU, 27 NOV: Eksport ikan tertentu termasuk ikan selar dan kembung ke luar negara akan dihadkan dalam usaha untuk memastikan bekalan keperluan asas dalam negara mencukupi menjelang musim tengkujuh.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata ia salah satu daripada beberapa langkah yang diambil kementeriannya bagi memastikan bekalan makanan, yang merupakan keperluan asas rakyat, mencukupi.

“Dalam hadapi musim tengkujuh ini, kita telah membuat beberapa persiapan termasuklah difahamkan jabatan kita, menghalang beberapa jenis ikan dieksport.

“(Dan) kalau tidak cukup, kita kena import bekalan. Yang penting, kita pastikan bekalan (makanan) seperti sayur dan ikan cukup,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat persiapan terakhir tapak karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Angsana Mall, dekat sini, hari ini.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan kementeriannya ke atas bekalan makanan terutama ketika musim tengkujuh, yang selalunya berlaku antara bulan November sehingga Januari.

Menyentuh HPPNK tahun ini, beliau berkata pihaknya menyasarkan 500,000 orang berkunjung sepanjang empat hari acara itu berlangsung dengan sasaran jualan bernilai RM30 juta.

“HPPNK 2019 bakal menampilkan enam kluster aktiviti yang akan dijalankan sepanjang ekspo iaitu makanan dan minuman, gaya hidup, kesejahteraan, hasil pertanian, agro teknologi dan pembangunan modal insan,” katanya.

Sebanyak 350 usahawan dan usahanita terlibat dalam ekspo itu, yang akan turut mempamerkan pelbagai jenis produk seperti produk industri asas tani, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Menurut Salahuddin, golongan muda turut sama menunjukkan minat terhadap bidang pertanian yang mana penglibatan mereka dalam HPPNK dilihat meningkat saban tahun.

HPPNK merupakan sebuah platform kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mengetengahkan hasil-hasil pertanian dan teknologi terkini selain membuka peluang bagi mereka yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :