Anggota bomba membantu mangsa-mangsa kemalangan di Kilometer 317 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Ipoh pada 12 November 2019. Foto BRRNAMA
AGENDANASIONAL

Empat maut nahas tujuh kenderaan

IPOH, 13 NOV: Empat termasuk seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 317, Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 10.50 malam sebelum anggota dan jentera dari Balai Bomba Tapah dengan bantuan dari Balai Gopeng dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, pihak bomba mendapati sebanyak tujuh kenderaan terlibat iaitu dua treler, sebuah lori, Perodua Axia dan Myvi, pacuan empat roda jenis Pajero dan Honda Accord dengan keseluruhan 14 mangsa terlibat.

“Tiga yang maut adalah dari pacuan empat roda iaitu seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, manakala seorang lagi adalah wanita dari Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jurucakap itu memaklumkan, identiti kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sementara yang cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan.

Operasi tamat kira-kira 1.50 pagi tadi.

– BERNAMA


Pengarang :