BUDAYA RENCANA

Empattunggal dalam puisi

Oleh Zahid M. Naser

Kerja menceritakan apakah hakikat puisi akan terus berlaku sampai bila-bila. Kerana puisi seperti wahyu. Memerlukan syarah dan tafsir, agar kekal relevan. Jika tidak, ia hanya jadi materi semu dan sukar pula dihargai.

Justeru, hakikat atau takrif puisi harus terus meriah menjadi wacana; biarpun takrifnya tak akan pernah kukuh. Hal ini, dalam mantik disebut “laisa bijami’ wa mani. Perbincangan mengenai hakikat puisi akan sentiasa berbaloi kerana hakikat puisi seperti yang disifatkan Arena Wati, “belum ditemui tak bermakna ia tidak wujud”.

***

Secara peribadi, saya menganggap puisi seperti ritual; harus memiliki syarat atau tonggaknya. Hilang satu, tak sempurnalah ritual. Ada empat tonggak dalam puisi. Keempat-empatnya molek sekali kita gelar sebagai “empattunggal ” – sekadar meminjam istilah ‘tritunggal’ dalam ajaran akidah.

empattunggal  puisi adalah suara, bunyi, imej dan masa; kesemuanya saling bergabung menjadi satu; satu dalam empat – empat dalam satu. Bunyi di luar kepala, lagunya ditutur dengan intim dan bergelombang sementara di dalam kepala pula adalah imej, melayarkan gambar yang jelas dan kabur. Sedang suara; adalah akal jujur yang dimiliki si penyair. Masa pula adalah tuhan, malaikat, bidadari dan hal-hal yang ghaib.

Tonggak utama – atau bapa –  daripada empattunggal , adalah imej – kerana imej puisi memberi makna keseluruhan bagi sebuah karya. Imej adalah pergulatan penyair. Ia pergulatan intim dalam gelanggang estetika, dramatik dan barangkali historik. Seakan-akan perkelahian Jalut dan Daud. Ia juga barangkali perasaan Adam dan Hawa ketika di syurga; godaan licik Azazil dan tarikan khuldi yang menelanjangkan mereka berdua. Menulis berpikul-pikul tulisan jika tidak ada pergulatan untuk menzahirkan imej adalah kerja yang tidak begitu bermakna. Melahirkan imej yang baik dalam puisi memerlukan kecerdikan bakat yang diasah berkali-kali, kritik diri sendiri yang jujur dan teman-teman serta tentulah daripada pengalaman signifikan dan difikir mendalam oleh si penyair. Sebagai penyair, akalnya adalah akal pelukis, ia harus kukuh dengan kebebasan dan kemerdekaan. Dalam akalnya, kanvas itu harus diwarna dan ditatang dengan keilmuan daripada pengalamannya tadi. Serupa tapi tak sama dengan pelukis catan yang menyeret dan melorek berus bagi menghasilkan visual.

Anaknya pula adalah suara, adalah voice, saut – perkataan suara yang neutral memerlukan sifat sandaran atau adjektif untuk memperluas dan mengukuhkannya. Sering perkataan suara disandarkan dengan kata-kata lain untuk memberi kekuatan kepadanya, misalnya; Suara Dari Pusara judul puisi Usman Awang, dan rafa’tu lahum saut el munadi faabsaru puisi karangan Al-Farazdaq; jika judul puisi Usman Awang hanya “Suara…” tanpa “Dari Pusara”, ia tidak begitu memberi kekuatan, kerana kita ditinggalkan dengan pertanyaan, suara apa? Siapa? Yang bagaimana? Namun, bukan sepenuhnya bermaksud suara itu wajib kukuh seperti contoh tadi. Suara puisi yang dimaksudkan adalah sisi pandang yang menunjukkan kecerdikan penyair. Sisi pandang yang sukar diramalkan mampu membuat sesebuah puisi berkesan, bahkan ia mampu memberi pukulan bertalu-talu kepada penikmatnya. Sisi pandang juga boleh jadi sikap penyair – di sini, penyair harus berhati-hati – yang cerdik, mereka akan mencipta suara yang jujur, kejujuran itu tidak wajib diungkap secara harfiah tetapi ia harus dirasai. Dan yang hebat, suaranya akan dirasai, dinikmati bahkan dikagumi segala jenis orang dari segenap lapis golongan baik yang kiri, tengah mahupun kanan, yang sasterawan dan tidak, dan yang miskin mahupun yang kaya. Seperti Al-Farazdaq yang memilih menjadi pengangkat suara orang lain dalam puisinya seakan-akan ia adalah suaranya sendiri.

Sementara yang ketiga iaitu semangatnya; adalah bunyi. Legenda mengatakan, panggilan “orang bunian” berasal daripada perkataan bunyi, kaum bunian dikenal dengan bunyi-bunyi mendayu tetapi tidak tersingkap di mata orang ketika dijejaki. Cukup kita fahami bahawa tutur ungkapan puisi harus ada bunyi tersendiri. Bunyi tak mesti rima dan ritma, tak mesti bahar mahupun imbuhan vokal. Bunyi barangkali ngaum singa, desiran ular, dan bahkan barangkali hujan gerimis yang kedengaran jatuh ke bahu, ia boleh jadi rayuan kekasih; derap kuda lumba dan pujukan ibu, kadang-kadang ia semacam dinihari dan terik siang. Pendek kata semua hal memiliki bunyi. Sungguh, bunyi yang seperti itu harus ada dalam kepala penyair, barangkali seorang penyair ada seruling mendayu dalam kepalanya, atau boleh jadi biola yang digesek mahupun kecapi yang dipetik. Bunyi akan muncul apabila imej dan suara telah kukuh. Membaca bait-bait penyair yang memiliki bunyi akan membawa fikiran dan perasaan hanyut ke dalam kata-kata dengan berkesan. Mendengar atau menangkap bunyi boleh dilatih dengan meneliti pantun-pantun yang bagus. Saya sering membayangkan dalam kepala pemantun ada pemain konga atau kompang atau apa-apa bunyi dari ketukan tangan. Kompang begitu humoris, mencucuk dengan satiranya. Jarang kita membayangkan kompang dengan kesedihan – ia sinonim dengan kegembiraan dan gelak tawa, usik mengusik dan bercanda; namun kompang juga patriotik dengan kibaran bendera peperangan mengiring tentera. Menimbulkan bunyi seperti itu lebih utama dari rima dan saja’. Lebih utama daripada a-b-a-b, atau gang-gong-gang-gong.

Yang akhir, adalah masa. Kata tuhan; “Aku adalah masa.” Mengimani masa begitu penting kepada penyair sehingga ia terkadang menjadi lebih utama dari ketiga-tiga tonggak tadi. Seperti petani atau orang yang berkebun. Menyemai, menatang, menyiram, membaja dan mencantas. Semua itu dilakukan dengan sabar. Hasil yang ranum dan segar dapat ditentukan dengan kesabaran penyair menjalin kerja dan masanya. Masa tidak boleh dicabul. Ia harus diharung dengan keghairahan, dengan 1001 rasa. Kepedihan, kesakitan, khianat, kehilangan, gembira, mabuk, ciuman dan gaduh. Semua itu adalah sebahagian kecil masa. Ia juga seakan-akan bidadari, jangan dicumbu paksa si bidadari. Kerana penyair yang begitu hanya menjengkelkan bidadari yang sedia setia. Dari masa yang dijalin sabar, datanglah terbitan rasa yang berbaloi diungkap. Barangkali itulah yang dikatakan wahyu. Mungkin benar penyair harus menjadi nabi, bak kata ‘Sang Nabi’ Pushkin; Seorang malaikat dengan tiga pasang sayap/Hadir di persimpangan tanah ini/Dengan jari ringan dan kurusnya/Dia sentuh mataku dalam mimpi:/Justeru mata kenabianku terbuka/Seperti mata burung helang yang terjaga.

***

Bagaimanapun, empattunggal  bukanlah akidah yang wajib diimani. Ia sekadar cuplikan pemerhatian peribadi terhadap puisi dan kepenyairan. Kerana akhirnya, puisi itu tetaplah menjadi seni – walaupun penuh teknik dan taktik – ia tetap wajib mengganggu akal budi penikmatnya, menerbitkan percikan rasa dan paling tidak atau sekurang-kurangnya datang daripada kemurnian dan keaslian yang unggul. Seperti mukjizat para nabi, seperti bisikan iblis dan malaikat.


Pengarang :