EXCOSELANGOR

EXCO: Cari jalan selesai caj penyelenggaraan tertunggak

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri melalui Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri kos rendah akan berusaha mencari jalan penyelesaian bagi membantu golongan B40 menjelaskan bayaran caj penyelenggaraan.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, JMB tidak mahu mengambil pendekatan undang-undang walaupun mereka berkuasa untuk ambil tindakan kepada penduduk yang tidak menjelaskan caj terbabit sehingga sudah mencecah RM2,000.

Justeru, katanya, JMB tetap dengan pendirian bagi memberi tempoh untuk penduduk menjelaskan bayaran bil semasa dan tunggakan sehingga habis.

“Namun, hanya yang benar-benar tidak boleh menjelaskan bayaran dengan sebab yang munasabah sahaja baru JMB akan mencari jalan penyelesaian untuk ia dijelaskan.

“Pada masa sama, isu ketidakupayaan menjelaskan caj penyelenggaraan ini juga berkait rapat dengan miskin bandar.

“Malah, himpitan ekonomi dalam kalangan miskin bandar yang majoritinya menetap di pangsapuri kos rendah akan menjejaskan kadar kutipan caj penyelenggaraan sehingga menyumbang kepada rendahnya tahap kebersihan, keceriaan dan keharmonian sesebuah pangsapuri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perhimpunan Perdana JMB/Perbadanan Pengurusan (MC) peringkat Selangor 2019 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, di sini, hari ini.

Sementara itu, Haniza berkata, isu bersifat insan, kebertanggungjawaban, rasa kebersamaan dan integriti juga kini semakin terhakis dalam kalangan penghuni bandar.

“Jika tiada anjakan paradigma daripada segi cara berfikir masyarakat bandar nescaya apa sahaja bentuk insentif atau bantuan bagi meningkatkan kualiti kehidupan golongan miskin bandar akan jadi sia-sia,” katanya.


Pengarang :