EXCOSELANGOR

EXCO percaya sindiket dalangi pembuangan sampah haram

SHAH ALAM, 7 NOV: EXCO Kerajaan Negeri, Ir. Izham Hashim percaya terdapat sindiket yang mendalangi perbuatan tidak bertanggungjawab membuang sampah secara haram di tepi Sungai Klang berhampiran Taman Medan, semalam.

Beliau yang memegang portfolio Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kegiatan sindiket sedemikian sudah lama berlaku dipercayai sejak beliau menjadi ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan.

“Sekiranya ada kawasan hutan yang tidak ada pembangunan, maka sudah tentu ada sindiket yang ‘jaga’ dan di situlah berlakunya pembuangan sampah haram.

“Disebabkan itu kita memikirkan tindakan tegas akan dilakukan bagi mengelakkan kejadian sebegini tidak berulang,” katanya kepada media ketika ditemui pada Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu penularan video menyaksikan perbuatan tidak bertanggungjawab pemandu lori yang berjaya dirakam sedang membuang sampah di kawasan terlibat.

Mengulas lanjut, Izham berkata, Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Pengairan dan Saliran sedang menyiapkan laporan lengkap berhubung isu berkenaan.

Katanya, sebelum ini beberapa kejadian sedemikian pernah dilaporkan berlaku antaranya melibatkan Sungai Damansara dan keadaan sedemikian dilihat amat mengecewakan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku ketika negeri cuba menangani masalah pencemaran, sekarang ditambah pula dengan pembuangan sampah secara haram hanya kerana ada pihak yang tidak mahu berbelanja lebih untuk melupuskannya dengan cara betul,” katanya.


Pengarang :