Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam (dua, kiri) bertukar dokumen bersama Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, KC Hoe (kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan di Wisma FAM pada 6 November 2019. -Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

FAM-Cuckoo jalin kerjasama

PETALING JAYA, 6 NOV: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan jenama peralatan rumah, Cuckoo sebagai rakan penaja terbaharu dalam usaha meningkatkan kualiti arena bola sepak dan futsal negara pada 2020.

Perjanjian penajaan itu ditandatangi Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cuckoo Malaysia KC Hoe, dengan disaksikan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail serta Ketua Pegawai Pemasaran Cuckoo, Queenie Goh di Wisma FAM, di sini.

Perjanjian penajaan bernilai RM1 juta itu yang ditandatangi untuk tempoh bermula 1 November hingga 31 Disember 2020 menyaksikan Cuckoo akan menjadi penapis air dan penapis udara rasmi FAM dan semua pasukan kebangsaan termasuk skuad Harimau Malaya.

Perjanjian itu juga menyaksikan Cuckoo akan menjadi penaja utama bagi Piala Futsal Malaysia yang bakal diperkenalkan buat julung kali pada musim kedua saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2020.

Rosmadi yang juga Pengsrusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM menyifatkan usaha Cuckoo itu mampu memberi impak kepada pembangunan bola sepak negara terutama futsal.

“Terima kasih kepada Cuckoo atas kesudian tampil sebagai penaja utama bagi Piala Futsal Malaysia. Sudah tentu nama Cuckoo akan tercatat dalam sejarah futsal negara kerana bersama FAM dalam penganjuran edisi pertama Piala pertandingan futsal kebangsaan secara profesional di Malaysia,” katanya dalam ucapan di majlis itu.

Sementara itu, KC Hoe berkata matlamat Cuckoo adalah untuk membawa kebaikan kepada semua pelanggannya dan kerjasama bersama FAM adalah langkah pertama dalam usaha membantu meningkatkan mutu bola sepak dan futsal negara.

“Pada awal tahun ini kami bekerjasama dengan Pahang Rangers FC dalam perjuangan mereka dalam MPFL dan kami amat bangga dapat berpeluang bekerjasama bersama FAM dan percaya kolaborasi ini dapat menjadi sebuah inisiatif pembangunan industri sukan tempatan,” jelasnya.

Dengan kehadiran Cuckoo, sebanyak 80 penapis air dan penapis udara Cuckoo akan ditempatkan di Wisma FAM termasuk di ruang pejabat, kafeteria dan bilik asrama pemain bagi memberikan persekitaran yang segar.

– BERNAMA


Pengarang :