Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

FAM: Jangan jual kuota tiket kepada penyokong Indonesia

SHAH ALAM, 17 NOV: Peminat bola sepak tempatan diminta tidak menjadi ‘orang tengah’ dengan menjual tiket diperuntukkan kepada penyokong Harimau Malaya kepada penyokong pasukan pelawat, Indonesia.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerjasama dalam perkara itu bagi memastikan tidak berlaku masalah terutama dari segi keselamatan serta aliran kemasukan penyokong kedua-dua pasukan ke dalam Stadium Nasional, Bukit Jalil pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa ini.

Untuk makluman, isu berkaitan berlaku pada perlawanan antara Malaysia dan Thailand di stadium sama, Khamis lalu, apabila jumlah kehadiran penyokong pasukan pelawat seramai kira-kira 5,000 orang, iaitu melebihi jumlah tiket diperuntukkan FAM sebanyak 2,500.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, ia berpunca daripada sikap segelintir warga bola sepak tempatan yang ‘membantu’ penyokong pelawat membeli tiket menggunakan kuota kawasan tempat duduk penyokong tuan rumah sekali gus menyukarkan pihak keselamatan untuk menempatkan mereka di tempat sepatutnya.

“Bagi mengelak perkara sama berulang pada perlawanan Malaysia melawan Indonesia, FAM dan PDRM sekali lagi ingin menasihatkan warga bola sepak Malaysia supaya tidak menjadi punca kepada masalah ini dengan mengambil sikap bertanggungjawab tidak menjual hak penyokong negara.

“Saya percaya, jika semua pihak memberikan kerjasama dalam menangani masalah ini, sudah pasti tidak timbul masalah berkaitan tempat duduk penyokong Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Untuk makluman, beliau berkata, FAM memperuntukkan 4,500 tiket bagi penyokong Indonesia seperti mana dimohon Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi perlawanan berkenaan.

Katanya, semua penjualan tiket itu akan diuruskan sendiri oleh pihak PSSI.

“Bagi penyokong Harimau Malaya, anda masih boleh membeli tiket secara dalam talian di www.tickethotline.com.my tetapi hanya tempat duduk terbuka masih ada manakala bagi tempat duduk Grandstand dan FAM Premium telah habis terjual,” katanya.

Tiket bagi perlawanan itu dijangka habis terjual dalam masa terdekat memandangkan hanya tinggal sedikit kuantiti tiket masih boleh dibeli penyokong Harimau Malaya menerusi kaedah itu.

Berdasarkan situasi semasa, berkemungkinan besar tidak akan ada penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket di stadium pada hari perlawanan jika kesemuanya telah habis terjual secara dalam talian.


Pengarang :