AGENDASUKANKINI

FAS terima peruntukan RM10 juta bagi musim 2020

SHAH ALAM, 1 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan RM10 juta untuk memperkuat cabaran pasukan bola sepak Selangor bagi musim 2020.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata peruntukan itu tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor sebagai Presiden FAS dalam misi mengembalikan kegemilangan pasukan Red Giants.

“Menjelang tahun 2020, penstrukturan semula pasukan bola sepak PKNS dan Selangor FA akan dilaksanakan untuk memperkuatkan pasukan Merah Kuning.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukan RM10 juta sebagai dana permulaan untuk pasukan Selangor bagi tahun 2020,” katanya ketika membentang Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri turut menyediakan RM9.24 juta untuk aspek pembangunan sukan dan menaik taraf infrastrukturnya bagi tahun 2020 dengan keutamaan diberi kepada pembangunan sukan melalui peruntukan RM7 juta.

“Selangor telah merangkul gelaran juara semasa SUKMA XVIII Sarawak 2016 dengan jumlah keseluruhan kutipan pingat sebanyak 61 emas, 71 perak dan 63 gangsa.

“Oleh itu, peruntukan ini akan digunakan sepenuhnya sebagai persiapan menjelang SUKMA 2020 di mana Selangor meletakkan matlamat untuk merampas takhta sebagai juara keseluruhan,” katanya.

Sebanyak RM2.24 juta pula disediakan untuk projek membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur sukan bagi kegunaan masyarakat setempat menjalankan aktiviti kesukanan sekaligus melahirkan masyarakat sihat, aktif dan berdaya saing.

Amirudin turut mengumumkan peruntukan RM5.26 juta bagi memperkasa generasi muda dan penggerak belia tempatan dengan merangka serta menjalankan inisiatif berdasarkan kriteria 10 teras utama Dasar Belia Selangor.


Pengarang :