AGENDANASIONAL

Food Bank beri manfaat 311,189 isi rumah

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Program Food Bank Malaysia yang dilancarkan secara rasmi pada Disember tahun lepas telah memberi manfaat kepada sebanyak 311,189 isi rumah di seluruh negara sehingga Ogos lalu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 1,701 tan metrik lebihan makanan yang dianggarkan bernilai RM8.51 juta diagih kepada mereka yang berkenaan.

Katanya, program itu merupakan salah satu usaha kementerian bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Program ini juga memberikan kesedaran kepada pengguna berkenaan inisiatif ‘sisa sifar’ bagi mengelak pembaziran makanan serta mengurangkan pembaziran makanan,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen hari ini sebagai jawapan kepada soalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk).

Ahmad Zahid bertanya mengenai anggaran rakyat yang menerima manfaat daripada program itu.

Saifuddin Nasution seterusnya berkata, Program Food Bank Siswa pula telah memanfaatkan seramai 4,970 mahasiswa daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

– BERNAMA


Pengarang :