AGENSISELANGOR

Galeri Shah Alam pamer 83 karya Jumaat ini

SHAH ALAM, 6 NOV: Sebanyak 83 karya bakal dipamerkan sempena Pameran Terbuka Galeri Shah Alam bermula 11 November hingga 26 Disember ini.

Penolong Kurator Galeri Shah Alam, Mohd Iszuan Ismail berkata, pameran anjuran Galeri Shah Alam dengan kerjasama Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor itu dibuka secara percuma kepada orang ramai.

“Pameran ini dimulakan sejak 1991 dan kini sudah memasuki edisi ke-28 bertujuan menarik pengkarya 18 tahun ke atas menyemarak dan menzahirkan seni lokal negara menerusi hasil seni mereka.

“Sementara majlis perasmian pada 13 November ini akan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT), Dato’ Paiman Keromo,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, karya di pameran itu perlu bebas daripada unsur perkauman, agama, isu diraja, lucah dan politik.

“Lima pengkarya yang menepati syarat akan terpilih dan diberikan anugerah insentif RM2,500 selain diberi peluang mempamerkan karya mereka di Galeri Shah Alam mengikut tarikh ditetapkan pihak galeri.

“Selain itu, pemilihan juga akan dilakukan berdasarkan karya menarik dan mempunyai sinopsis serta penerangan yang bermakna,” katanya.


Pengarang :