AGENSISELANGOR

Gangguan air di Gombak, Hulu Selangor 28 November ini

SHAH ALAM, 20 NOV: Seramai 22,958 pemegang akaun bagi kawasan Gombak dan Hulu Selangor dijangka mengalami gangguan air bermula 28 hingga 29 November ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dalam kenyataan berkata antara lokasi terlibat ialah Bandar Baru Selayang, Ibu Pejabat Polis Daerah Selayang, Taman Puncak Templer, Perindustrian Taman Selayang Baru dan Kampung Selayang Permai.

Turut terjejas ialah Kampung Sungai Samak, Kampung Melayu Batu 16, Perindustrian Massalam, Rawang Perdana, Taman Tun Teja dan Templer Saujana.

“Gangguan itu susulan pelaksanaan kerja menaik taraf sistem bekalan air di Kolam Sedut Bukit Kanching yang dijangka bermula dari 9 malam (28 November) dan dibuka semula pada 5 petang (29 November).

“Usaha ini bagi memastikan sistem bekalan air dalam keadaan baik serta mengelakkan insiden luar jangka yang boleh menjejaskan bekalan jika kerja menaik taraf tidak dilaksanakan,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, Air Selangor turut menasihatkan pelanggan supaya menyimpan bekalan air bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan.

Katanya bantuan lori tangki air juga akan digerakkan dan keutamaan diberi kepada premis kritikal serta kecemasan.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan Air Selangor mengambil segala usaha bagi mempercepatkan pelaksanakan kerja menaik taraf sistem bekalan air ini mengikut jadual serta meminimumkan impak gangguan,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi talian 15300 atau dapatkan maklumat serta status terkini melalui aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.airselangor.com.

Pelanggan juga boleh menghantar pesanan bagi kes kecemasan dan kritikal melalui WhatsApp ke 019-281 6793 atau 019-280 0919.


Pengarang :