AGENDANASIONAL

Gempita Sastera angkat karya lapan Sasterawan Negara di pentas teater

SHAH ALAM, 15 NOV: Buat julung-julung kali, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani Events) dan Persatuan Teater Seni (PENTAS) Selangor bagi menganjurkan acara Gempita Sastera-Sasterawan Negara 2019.

Acara yang dijangka berlangsung pada 2 hingga 8 Disember depan di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, di sini, bakal mengangkat karya lapan Sasterawan Negara yang dipilih untuk diadaptasi ke dalam bentuk pementasan teater.

EXCO Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, karya agung itu dipentaskan bagi menghargai jasa dan sumbangan besar aktivis teater, khususnya dalam memartabatkan kesusasteraan serta seni persembahan Melayu.

Katanya, Sasterawan Negara wajar diberi penghormatan melalui program yang mampu melonjakkan nama termasuk naskhah hebat dihasilkan mereka selama ini.

“Ini satu pendekatan untuk merakyatkan seni budaya di Selangor, terutama kepada generasi muda supaya mencintai karya kesusasteraan Melayu yang kaya dengan nilai murni seperti kerohanian, kemasyarakatan serta kemanusiaan.

“Jika tidak melaksanakan program seperti ini, kita bimbang seni budaya dan interpretasi karya sastera sama ada ditulis Sasterawan Negara mahupun penulis lain pupus serta semakin dilupakan,” katanya pada sidang media pelancaran acara itu di Hotel De Palma, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Stefani Events, Fauziah Nawi; Pengerusi PENTAS Selangor, Khusiary Mahayudin dan penggiat seni veteran, Kamaruzzaman Ibrahim.

Karya sasterawan yang akan dipertontonkan sepanjang seminggu pementasan itu ialah Dato’ Dr Ahmad Kamal Abdullah (Tinta-tinta Kemala), Dato’ Dr Zurinah Hassan (Menghadap Ke Pelabuhan), Dr Muhammad Salleh (Selamat Pulang Juita), Dr Siti Zainon Ismail (Pemecah batu gunung), Dr Anwar Ridwan (Orang-orang kecil), Dato’ Seri A Samad Said (Zeni), Dato’ Baha Zain (Topeng-topeng) dan Dato’ Nordin Hassan (Jangan bunuh rama-rama).

Kumpulan Teater terbabit ialah Theater Shop Kuala Lumpur, Persatuan Teater Ceritera, Stefani Events, Anggun Performing Arts, Teater Melayu Subang, Persatuan Teater Hidayah dan Alumni Artis Penjuru Alam.

Dalam pada itu, penganjur turut menganjurkan acara sampingan lain antaranya pameran, jualan buku, persembahan kebudayaan, monolog, deklamasi puisi dan permainan tradisional.

Pada masa sama, Abdul Rashid berharap acara terbabit dapat memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri bagi menjadikan Shah Alam sebagai Kota Seni, selain menyambut baik sebarang bentuk program kesenian atau pementasan karya sastera pada masa hadapan.

“Ini adalah percubaan pertama yang kita laksanakan, maka sudah tentu kita memberi sokongan penuh dan mengharapkan supaya orang ramai dapat hadir serta memberi sumbangan terhadap penganjurannya,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan pas masuk untuk menyaksikan pementasan itu serendah RM25 setiap seorang.


Pengarang :