Dr Norimah Md Dali, 67, yang ditemui di kediamannya di sini. Mesra dengan panggilan Dr Aunty, menangguhkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) selama 35 tahun akibat kesibukan tugas. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Genggam PhD: Warga emas tunai hasrat tertangguh

SEREMBAN, 23 NOV: Hasrat untuk menggenggam segulung Ijazah Kedoktoran (PhD) yang tertangguh sejak 35 tahun lepas, akhirnya berjaya ditunaikan seorang warga emas yang memanfaatkan masa bersaranya.

Mula memasang angan-angan selepas menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 1978, Dr Norimah Md Dali, 67, berkata beliau terpaksa melupakan impiannya seketika berikutan kesibukan tugas di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, di Putrajaya.

“Saya sebenarnya dari 1984 lagi ingin menyambung pelajaran saya, masa itu saya dapat tempat menyambung pelajaran di University of Oxford di United Kingdom. Tetapi masa itu, saya tidak ditawarkan biasiswa menyebabkan ia terbantut, maka saya terus bekerja dan tidak sempat untuk menyambung belajar.

“Sehinggalah saya bersara pada 20 Mei 2008 selepas 30 tahun bekerja. Minat untuk menyambung kembali pelajaran di peringkat PhD kembali meluap-luap dan saya memikirkan untuk mengisi masa pencen saya dengan mengambil PhD,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di Seremban di sini.

Hari ini, ibu kepada empat orang anak itu yang menyambung pengajian dalam Ijazah Kedoktoran Pembinaan Persekitaran pada 2013, menerima PhD di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Selangor dan berjaya menghasilkan tesis bertajuk ‘An Evaluation Model Using The Maqasid Al-Shariah Framework Towards Liveable City’.

Mesra disapa dengan panggilan Dr Aunty, bekas timbalan pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor itu berkata meskipun berhadapan cabaran khususnya daripada kalangan pelajar yang lebih muda selain kekurangan dalam penggunaan internet dan komputer, namun ia tidak mematikan impian untuk memburu ‘emas’ dalam hidupnya.

“Walaupun mungkin lambat sikit daripada orang muda, tetapi pengalaman, penghayatan dan pemahaman saya lebih matang daripada mereka yang baru belajar. Setahun pertama, saya agak ketinggalan kerana kurang faham, namun alhamdulillah, berkat keazaman dan usaha, akhirnya saya dapat faham dengan baik.

“Mengenai cabaran, ia datang daripada diri sendiri dan pengalaman yang ada, jika tak manfaatkan saya rasa rugi. Saya fikir walaupun dah pencen, saya boleh buat dan itulah saya nak buktikan pada diri,” kata nenek kepada lima cucu itu.

Anak kelahiran Tangkak, Johor itu juga menjadikan kejayaan yang diperolehnya itu untuk membantu semula masyarakat dengan kini aktif bersama tiga badan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Malaysian Nature Society (MNS) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Saya berharap, anak muda dan mereka yang bersara namun mencintai ilmu, bolehlah memikirkan untuk menyambung pelajaran kerana kita tidak boleh berhenti belajar sehingga kita meninggal dunia,” katanya yang pernah menerima anugerah Tokoh Pengguna Pahang pada 1986.

Norimah yang memiliki pengalaman luas, sebelum ini pernah bertugas di jabatan yang sama selama 10 tahun di Kuantan, Pahang dari 1978 hingga 1989.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Bahagian Perancangan Bandar Majlis Perbandaran Seremban (1990-1991), Penolong Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pahang (1991-2004), Pengarah Bahagian Pembasmian Kemiskinan Putrajaya (2004-2006), Timbalan Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Negeri Sembilan (2006-2007) dan Penolong Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Selangor (2008).

-BERNAMA


Pengarang :