Rodziah Ismail selepas merasmikan Mini Expo Usahawan Selangor (MEXUS) kali ke-9 peringkat Kuala Selangor di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor pada 16 November 2019.
EXCOSELANGOR

Golongan B40 di Kuala Selangor diseru tingkat taraf hidup

KUALA SELANGOR, 16 NOV: Golongan B40 khususnya di Kuala Selangor digalakkan menyertai bidang keusahawanan bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka.

EXCO Jawatankuasa Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, bidang keusahawanan adalah salah satu langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah kemiskinan bagi golongan itu.

Katanya, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai medium bagi membantu rakyat meningkatkan pendapatan mereka.

“Situasi yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan golongan B40 di Kuala Selangor iaitu daripada kadar 5.2 peratus pada tahun 2014 meningkat kepada 5.9 peratus pada 2016. Angka itu agak membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mini Expo Usahawan Selangor (MEXUS) kali ke-9 peringkat Kuala Selangor di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, di sini, hari ini.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri akan cuba menangani isu itu secara holistik dengan mendorong mereka meningkatkan taraf kehidupan menerusi perniagaan secara kecil-kecilan.

Mengulas berkenaan pinjaman, Rodziah berkata, Kerajaan Negeri komited membantu mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan menerusi pelbagai medium yang disediakan.

“Kita tidak mahu rakyat meminjam dana tidak rasmi kerana khuatir ia akan menimbulkan pelbagai masalah selepas itu.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri sudah menyediakan geran dana seperti Hijrah Selangor bagi membantu rakyat,” katanya.

Rodziah berkata, difahamkan Kuala Selangor adalah daerah ketiga tertinggi menerima pinjaman daripada program Hijrah Selangor iaitu seramai 5,643 peminjam membabitkan RM40 juta peruntukkan Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, beliau optimis semua usahawan akan berjaya dan mereka akan berusaha untuk meningkatkan tahap perniagaan masing-masing.

“Saya berharap usahawan mampu meningkatkan pendapatan, jangan hanya berada di tahap yang sama sebaliknya cuba untuk mempromosi produk hingga dikenali peringkat global,” katanya.


Pengarang :