AGENDANASIONAL

Golongan tua Sabah didedah aplikasi Facebook, YouTube

KOTA KINABALU, 3 NOV: Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, generasi tua digalakkan belajar ilmu berkaitan teknologi maklumat ekoran arus pemodenan masa kini yang menjurus kepada kemajuan teknologi.

Beliau berkata, belajar untuk menambah pengetahuan baharu tidak bergantung kepada had umur dan siapa sahaja boleh menimba ilmu selagi ada kemahuan.

“Umur bukan penghalang untuk kita belajar perkara baharu khususnya dalam bidang internet. Di mana-mana kita boleh belajar tentang sesuatu yang baharu.

“Oleh itu, saya minta golongan tua yang sebelum ini tidak tahu mengenai teknologi maklumat belajar mengenainya kerana kita sudah berada di era digital,” katanya pada majlis penutupan Kem Inovasi Digital 2019 anjuran Persatuan Komputer Sabah, di sini, hari ini.

Yusof berkata, kerajaan sangat menyambut baik program seumpama itu kerana ia selaras dengan misi dan visi kementeriannya untuk menggalakkan rakyat di negeri ini belajar tanpa mengira peringkat umur.

“Saya difahamkan bahawa program ini disertai semua golongan tua dan banyak perkara yang didedahkan kepada mereka seperti beberapa aplikasi seperti youTube dan Facebook.

“Tiada siapa pun yang terlalu tua untuk belajar mengenai teknologi maklumat dan ia bukan hanya untuk generasi muda,” katanya.

Sehubungan itu, Yusof berharap program berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan golongan tua juga tidak ketinggalan dengan kemajuan teknologi maklumat.

– BERNAMA


Pengarang :