Peserta yang hadir sempena Seminar Good Regulatory Practice (GRP) Negeri Selangor di Marriot Putrajaya pada 25 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

GPR Negeri Selangor kaji gugur peraturan lapuk

PUTRAJAYA, 25 NOV: Seminar Amalan Baik Peraturan (GRP) Negeri Selangor 2019 menjadi peluang terbaik buat jabatan kerajaan untuk melihat semula peraturan sedia ada yang boleh ditambah baik bagi memberikan lebih manfaat kepada semua pihak.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor berkata, Kerajaan Negeri tidak mempunyai halangan sekiranya Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mempunyai cadangan supaya peraturan tidak diperlukan atau lapuk digugurkan.

“Antara dasar Kerajaan Negeri ialah dasar Smart Selangor, pelaksanaan kempen bebas plastik, inisiatif peduli rakyat (IPR) dan dasar klusterisasi.

“Ucapan belanjawan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut menjadi salah satu dasar yang menjadi pegangan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Dalam ucapan perasmian di Hotel Marriot, beliau berkata, pelaksanaan GRP telah diperkenal dan direalisasikan pada peringkat kementerian pada 2016 berlandaskan Rancangan Malaysia Ke-11 ke arah dasar peraturan komprehensif.

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berucap sempena Seminar Good Regulatory Practice (GRP) Negeri Selangor di Marriot Putrajaya pada 25 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Katanya, matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju akan meningkatkan daya saing pembangunan yang mampan dan pertumbuhan inklusif dalam menghadapi persekitaran dinamik serta dunia tanpa sempadan.

Zamani Ahmad menjelaskan, peraturan berkualiti dan efektif akan dapat dicapai melalui proses analisis yang mantap manakala rundingan bersama pihak berkepentingan mampu meningkatkan kecekapan serta akauntibiliti.

“GRP yang bakal dilaksanakan akan memperkukuh proses membangunkan peraturan seiring dengan amalan yang dilaksanakan di negara maju.

“Kita belajar bagaimana Korea melaksanakan GRP kerana pada tahun 1980-1990an, pendapatan negara kasar (GNI) mereka sama seperti kita.

“Semasa krisis kewangan 1997, Korea menghapuskan 3,000 peraturan yang menyekat kepada pertumbuhan dan inovasi syarikat.

“Kini, GNI Korea berada pada ASD27,000 jauh lebih tinggi dari kita,” katanya.


Pengarang :