EXCOSELANGOR

Hampir 500 hadir Perhimpunan Perdana JMB, Perbadanan Pengurusan Selangor

SHAH ALAM, 23 NOV: Hampir 500 peserta mewakili Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) dari 12 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor menyertai Perhimpunan Perdana JMB/MC pangsapuri 2019, hari ini.

Perhimpunan dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari itu diadakan di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 dan dirasmikan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Haniza berkata, perhimpunan itu adalah program yang menghimpunkan JMB dan MC seluruh Selangor selepas diadakan kali pertama pada 2010.

“Objektif perhimpunan ini adalah untuk memberi kefahaman meluas berkenaan program Kerajaan Negeri untuk masyarakat perumahan bertingkat.

“Ia juga sebagai tanda penghargaan kepada JMB dan MC kerana memberi komitmen masa serta tenaga dalam mengurus juga menyelenggara bangunan kediaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana JMB/MC peringkat Selangor 2019 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perhimpunan itu juga bagi memberi kesedaran dan motivasi kepada JMB dan MC supaya terus menyertai skim Kerajaan Negeri yang memberi manfaat serta membentuk nilai kebertanggungjawaban penduduk perumahan bertingkat.

Katanya, beliau optimis program itu dapat menjadi landasan perkongsian ilmu dan pengalaman kepada semua wakil JMB dan MC bagi membina hubungan yang lebih mantap sesama mereka dan Kerajaan Negeri.

“Syabas saya ucapkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dengan kerjasama semua jabatan serta PBT menjayakan majlis hari ini,” katanya.

Antara pengisian program turut diadakan Program Bicara Santai : Inovasi Pemangkin Transformasi Strata, Taklimat Pengenalan Skim Air Darul Ehsan dan penyampaian anugerah kepada pangsapuri.


Pengarang :