Haniza Talha melawat ruang pameran Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX), MAPEX Shah Alam/Klang di Central I-City, Shah Alam pada 15 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Harga ambang pemilikan rumah warga asing diumum tahun depan

SHAH ALAM, 15 NOV: Perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pemegang taruh industri hartanah akan diadakan bagi menetapkan nilai ambang baharu pemilikan hartanah strata oleh warga asing.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha bagaimanapun berkata, nilai ambang baharu yang diputuskan nanti tidak semestinya sama seperti yang diumumkan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2020 lalu.

“Kita di Selangor akan mengkaji unit yang sudah siap, berapa lama tak terjual dan faktor-faktor lain sebelum kita buat keputusan dasar untuk sementara ini.

“Kalau tiada halangan dan ada keputusan kita akan mengubah nilai ambang bagi pemilikan rumah warga asing tahun depan.

“Kadar penurunan tidak semestinya RM600,000 tetapi InsyaAllah ada penurunan hanya untuk tahun 2020 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pembukaan Ekspo Hartanah & Perumahan Malaysia (MAPEX) Shah Alam/Klang di Central-I City Mall, di sini, hari ini.

Haniza berkata, pada masa ini dasar perumahan Selangor menetapkan nilai ambang bagi pemilikan rumah warga asing pada harga RM2 juta serta membabitkan unit strata sahaja.

Katanya, data dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara dari Januari hingga Jun 2019 menunjukkan hanya 65 unit daripada 1,189 hartanah bernilai RM600,000 hingga RM1 juta yang dilancarkan tidak dijual.

Manakala bagi hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas terdapat 195 daripada 1,179 unit hartanah yang belum dijual.

“Nilai rumah yang tidak terjual kira-kira RM281 juta. Jadi di Selangor unit berharga RM600,000 dan ke atas ada 260 unit sahaja tidak termasuk pangsapuri perkhidmatan kerana ia dikira unit komersial.

“Berbanding dengan negeri lain seperti Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, Selangor masih berada di kedudukan agak baik kerana tidak terlalu banyak rumah tak terjual,” katanya.


Pengarang :