AGENDANASIONAL

Harga RON95 diapung berperingkat tahun depan

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Harga petrol RON95 akan diapung secara berperingkat apabila Program Subsidi Petrol (PSP) dilaksanakan mulai Januari tahun depan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chien Jen.

Beliau berkata harga petrol itu akan diapung secara berperingkat pada kadar satu sen atau dua sen setiap minggu sehingga harga petrol RON95 mencapai harga pasaran.

“Secara am semasa kita laksana subsidi bersasar kita akan mengapungkan harga petrol untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan supaya harga barangan tak melambung secara mendadak.

“Kita akan mengapung harga petrol secara berperingkat iaitu dua sen satu minggu atau satu sen satu minggu sehingga harga RON95 mencapai harga pasaran,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang ingin tahu langkah kementerian bagi mengelak kenaikan harga barang selepas pelaksanaan PSP.

Menjelas lanjut, Chien Jen berkata PSP tidak akan dilaksanakan di Sarawak, Sabah dan Labuan kerana mereka akan terus menikmati harga subsidi RON95 pada harga RM2.08 seliter.

Katanya kementerian juga mempunyai Akta Kawalan Harga yang dikuat kuasa bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan berlebihan selepas pelaksanaan PSP.

Sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan PSP hanya berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia sahaja yang bakal meringankan beban kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki kenderaan.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 mengumumkan kelompok yang tidak tergolong dalam B40 juga boleh menikmati subsidi berkenaan melalui Kad95 yang akan diberikan kepada mereka yang layak – berpendapatan kurang RM4,000, tetapi tidak tersenarai dalam BSH.

-BERNAMA


Pengarang :