PBTSELANGOR

Hari Kebun Komuniti bentuk usahawan pertanian

SHAH ALAM, 25 NOV: Hari Kebun Komuniti anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi landasan kepada penduduk setempat untuk menimba ilmu keusahawanan pertanian.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, aktiviti bercucuk tanam boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan serta meningkatkan sosio ekonomi komuniti.

“Program ini memberi ruang kepada orang ramai menceburkan diri dalam industri pertanian berskala kecil dan sederhana.

“Inisiatif yang dijalankan MBSA ini turut menggalakkan komuniti bercucuk tanam di dalam kawasan perbandaran sekali gus membantu menjimatkan kos sara hidup mereka,” katanya dalam kenyataan.

Sabtu lalu, MBSA dengan kerjasama portfolio Pemberdayaan, Pembangunan Sosio menganjurkan Hari Kebun Komuniti di Taman Rekreasi Seksyen 28, di sini.

Hadir merasmikan program itu ialah EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau. Turut hadir Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haji Haris Kasim.

Antara pengisian aktiviti Hari Kebun Komuniti itu termasuk bengkel tanaman asas dan konsep pertanian tanpa tanah oleh Jabatan Pertanian Selangor.

Pada masa sama, orang awam turut didedahkan dengan Bengkel ‘Natural Farming’ dan kompos makanan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia serta Bengkel Akuaponik dan Pengurusan Produk oleh Jabatan Perikanan Selangor.


Pengarang :