Datuk Hamidin Mohd meluangkan masa bersama pemain skuad Harimau Malaya selepas bersarapan pagi bersama mereka pada 14 November 2019. Foto FAcebook FAM
AGENDASUKANKINI

Harimau Malaya kena garang tentang Thailand malam ini

SHAH ALAM, 14 NOV: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menggesa skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi lebih bertenaga bagi mengutip tiga mata penuh dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand, malam ini.

Katanya, keputusan malam ini bakal menentukan hala tuju skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam memburu slot ke pusingan seterusnya dan juga layak ke Piala Asia 2023.

“Sudah tentu sebelum ini saya begitu kecewa dengan kekalahan 1-0 kepada Vietnam pada perlawanan ketiga di Hanoi, 10 Oktober lalu malah permainan kita ketika itu bukan pada tahap sebenar seperti apa yang ditampilkan pada perlawanan menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

“Jadi untuk perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini, saya mahu para pemain bangkit semula daripada kekalahan kepada Vietnam dan apa yang ditampilkan ketika kita menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan, Sabtu lalu harus dipertingkatkan lagi dengan menampilkan kekuatan sebenar ketika bertemu Thailand.

“Kita mahukan kemenangan malam ini. Jadi pemain perlu tampil dengan lebih garang, agresif dan tunjukkan taring dan semangat harimau yang sebenar, lebih-lebih lagi kita akan beraksi dengan dibantu sokongan padu puluhan ribu penyokong sendiri.

“Tunjukkan yang anda semua pemain yang bagus dan memiliki kualiti untuk menewaskan Thailand,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman Facebook rasmi FAM.

Hamidin sebelum itu meluangkan masa bersarapan pagi bersama pemain skuad Harimau Malaya dan disertai Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi serta Penolong Pengurus Pasukan, Dato Posa Majais.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyeru para penyokong supaya turun beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan suntikan semangat.

Malaysia kini menghuni tangga keempat Kumpulan G dengan tiga mata selepas tiga perlawanan manakala Thailand di kedudukan teratas mengumpul tujuh mata.


Pengarang :