Amirudin Shari meluangkan masa melawat ruang jualan peserta pada Majlis Perasmian Mini Expo Usahawan Selangor (MEXUS) 2019 Daerah Gombak di Melawati Mall, Kuala Lumpur. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

HIJRAH lonjak 80 peratus pendapatan usahawan

GOMBAK, 9 NOV: Pelbagai program pembangunan usahawan dilaksana Kerajaan Negeri berjaya melonjakkan pendapatan golongan terbabit sehingga 80 peratus.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata penemuan hasil kajian dua tahun itu turut membabitkan 46,000 usahawan yang dibantu melalui skim HIJRAH bernilai RM456 juta.

“Kerajaan Negeri membelanjakan RM249 juta dalam tempoh tiga tahun bagi tujuan itu tetapi HIJRAH menjana pendapatannya sendiri melalui kitaran bantuan pinjaman diberi dan akhirnya membantu lebih 46,000 usahwan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS) Daerah Gombak 2019 di Melawati Mall di sini, hari ini.

Amirudin berkata, HIJRAH berjaya meningkatkan bantuan modal kepada peminjam apabila bayaran balik pinjaman mencatatkan kadar yang tinggi.

Katanya selain modal perniagaan, bantuan teknikal seperti pembungkusan dan pemasaran turut diberi.

“Usahawan di Selangor digalak mengembangkan sayap perniagaan masing-masing hingga luar negeri termasuk pasaran serantau.

“(Justeru) mini ekspo seperti ini mampu meledakkan pasaran hingga peringkat antarabangsa,” katanya.


Pengarang :