Amirudin Shari (tiga, kanan) menyempurnakan gimik perasmian HORAS 600 di Bestari Jaya hari ini. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

HORAS 600 persediaan hadapi musim kemarau

BESTARI JAYA, 27 NOV: Projek pembangunan Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) 600 mampu mengurangkan risiko kekurangan bekalan air mentah terutama pada musim kemarau, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata kejadian catuan air selama dua bulan pada 2014 menjadi titik permulaan untuk melaksanakan HORAS 600 susulan penurunan paras simpanan air mentah di Empangan Sungai Selangor kepada 37.88 peratus.

“Kerajaan Negeri ketika itu membuat ketetapan supaya pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor dikurangkan sebanyak 500 sehingga 1,000 juta liter sehari (JLH).

“Pengurangan air mentah ini menyebabkan pengeluaran air terawat terpaksa dikurangkan sebanyak 900 JLH sehingga menyebabkan krisis bekalan air membabitkan sejuta akaun atau empat juta orang.

“Catuan bekalan air yang berlaku pada 2014 membuktikan bahawa kestabilan dan keutuhan bekalan air banyak dipengaruhi keadaan cuaca dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Amirudin Shari bergambar di atas HORAS 600 selepas merasmikan projek itu di Bestari Jaya hari ini. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembangunan HORAS 600 di Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor.

HORAS 600 yang juga kolam dwifungsi bertujuan menakung aliran air banjir dari Sungai Selangor dan air dari kolam akan dialir keluar ketika aliran rendah bagi menampung keperluan muka sauk.

Kapasiti kolam itu adalah 30 MCM (million cubic meter) dan boleh bertahan selama 100 hari semasa musim kemarau.

Pada masa sama, Amirudin berkata Selangor membelanjakan hampir RM1 bilion untuk melaksanakan projek bekalan air antaranya pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2, Loji Rawatan Air Labohan Dagang, HORAS 600 dan Projek Mitigasi 2 bagi meningkatkan keupayaan agihan bekalan air terawat.

Katanya pembangunan HORAS 600 diyakini memberi banyak manfaat kepada rakyat kerana Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab besar untuk menampung permintaan hampir 60 peratus penggunaan di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Selain dijadikan sebagai sumber air, tapak HORAS 600 boleh dibangunkan sebagai pusat rekreasi dan tarikan pelancong.

“Paling membanggakan, walaupun sebelum siap sepenuhnya, HORAS 600 ini menjadi rujukan dan ikutan negeri lain dalam mengatasi masalah air ketika musim kering.

“Malah, projek ini juga dilawati wakil negeri seperti dari Kedah dan Johor,” katanya.


Pengarang :