Pengerusi FAMA, Ishak Ismail memasukkan kit makanan kedalam kontena sebelum Perlepasan Kit Makanan NADMA Ke Seluruh Malaysia di Pusat Operasi FAMA Dengkil, Sepang pada 19 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

FAMA sedia 50,000 kit makanan untuk mangsa bencana

SEPANG, 19 NOV: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus mendapat kepercayaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menyediakan 50,000 kit makanan untuk diedarkan ke kawasan ditimpa bencana.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, FAMA mula diberi tanggungjawab menyediakan Kit Makanan NADMA sejak tahun 2014 apabila negara dilanda banjir besar dengan jumlah keseluruhan setakat tahun 2018 sebanyak 259,586 unit kit makanan.

“Untuk tahun ini, FAMA sudah menghantar 9,161 unit dan hari ini kita hantar lagi untuk melengkapkan penghantaran fasa pertama berjumlah 20,000 kit makanan.

“FAMA juga bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mengedarkan kit ini kepada mangsa bencana seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pelepasan Kit Makanan NADMA Ke Seluruh Malaysia di Pusat Operasi FAMA Dengkil, di sini, hari ini.

Ishak berkata, pemilihan Pusat Operasi FAMA Dengkil sebagai pusat logistik memproses bekalan bantuan bencana berikutan lokasinya yang strategik iaitu berhampiran lebuh raya, lapangan terbang dan pelabuhan.

Katanya, FAMA memilih produk keluaran Agromas antaranya air mineral, beras, biskut jagung, makanan dalam tin, bihun, seri kaya, gula pasir, garam dan serbuk teh.

Terdahulu pada majlis sama, Ishak dan diringi Pengarah FAMA Selangor, Dato’ Abdul Ghariff Ramin membuat pelepasan lori membawa Kit Makanan NADMA ke negeri-negeri sebagai persediaan menghadapi musim banjir.


Pengarang :