EXCOSELANGOR

‘Ibu tinggal’ boleh mohon bantuan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 12 NOV: Golongan ‘ibu tinggal’ boleh memohon bantuan Kerajaan Negeri bagi memastikan
kehidupan keluarga mereka lebih terurus.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata bagi melayakkan mereka mendapat bantuan, kumpulan itu perlu mendapat pengesahan laporan polis dan sokongan ketua kampung.

“Bantuan khusus buat kumpulan ini agak sukar dilaksana kerana mereka masih mempunyai suami yang sah tetapi seperti ‘chipsmore’ kejap ada kejap tiada.

“Suami tinggalkan isteri dan anak-anak serta menyusahkan ibu tinggal ini. Berbanding ibu tunggal, bantuan buat mereka lebih mudah kerana mempunyai pendaftaran (cerai atau kematian) yang sah.

“Begitu juga bantuan untuk anak-anak mereka agak sukar kerana tidak dikategori sebagai anak yatim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Sementara itu, Harumaini Omar (PAKATAN-Batang Kali) memuji keprihatinan Siti Mariah dalam membela nasib ibu tunggal di negeri ini.

“Tahniah diucapkan kepada EXCO terlibat kerana ibu tunggal di kawasan saya juga diberi fokus dan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.


Pengarang :