Penerima zakat Norhayati Mohamad Yatim ketika di temu bual pada Program Ziarah Asnaf Bersama Pengeluar Zakat di Kampung Sungai Raya, Cheras pada 20 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Isteri tabah sara suami sakit saraf

HULU LANGAT, 20 NOV: Seorang wanita terpaksa mengambilalih tugas mencari rezeki menyara keluarga selepas suaminya terlantar akibat menghidap penyakit saraf sejak 2013.

Noryanti Mohamad Yatim, 38, tidak pernah berputus asa meneruskan kehidupannya bersama suami, Nizal Azli Zainudin, 41, dan anak tunggal, Nurul Ain Balqis, 7.

Kata ibu muda itu, sejak suaminya tidak bekerja, dia terpaksa mencari rezeki dengan mengambil upah menjadi pengasuh yang menerima bayaran RM400 sebulan.

Penerima zakat asnaf Nizal Azli Zainuddin ketika di temu bual media pada Program Ziarah Asnaf Bersama Pengeluar Zakat di Kampung Sungai Raya, Cheras pada 20 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Duit RM400 sebulan sudah tentu tidak cukup namun saya bersyukur apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menghulurkan bantuan,” katanya yang berkahwin sejak 2011.

Noryanti berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Ziarah Agensi Lembaga Zakat Selangor bersama Tenaga Nasional Berhad cawangan Cheras di Hulu Langat, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nizal berkata, dia pernah rasa berputus asa dengan nasib menimpanya namun sedikit demi sedikit dia mampu menerima kenyataan itu.

“Saya kagum dengan kesabaran isteri yang tabah dan menerima dirinya yang sudah tidak mampu mencari rezeki,” katanya.

Kata Nizal, sebelum disahkan mengidap penyakit saraf, dia terjatuh sewaktu baru sampai ke rumah dari tempat kerja.

“Semasa dirawat di Hospital Seremban, saya kemudian dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas disyaki mempunyai ketumbuhan pada tulang,” katanya.

Katanya, dia kemudian menjalani pembedahan pada tulang dan keadaannya selepas itu semakin baik walaupun tidak pulih sepenuhnya.

“Malang tidak berbau apabila pada 2008 saya terlibat dalam kemalangan. Sejak hari itu kaki saya tidak lagi boleh dibengkokkan,” katanya.

Katanya, pada 2013, dia terpaksa melakukan pembedahan bagi menukar besi pada kakinya namun apa yang berlaku selepas itu dia tidak lagi boleh berjalan kerana sakit sarafnya bertambah buruk.


Pengarang :