AGENDA NASIONAL

Isu e-hailing motosikal fokus sidang Dewan Rakyat hari ini

Isu e-hailing motosikal fokus sidang Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Rancangan pelaksanaan perkhidmatan e-hailing motosikal seperti Dego Ride dan Gojek merupakan antara tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat, perkara itu dibangkitkan ketika sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang bertanya bilakah projek perintis perkhidmatan itu akan dimulakan serta sama ada kerangka perundangan mengenainya telah siap dirangka Kementerian Pengangkutan.

Turut dijangka menghangatkan persidangan adalah pertanyaan Datuk Seri Dr Santhara (PH-Segamat) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perkembangan terkini tindakan terhadap salah laku Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) ketika pemerintahan kerajaan terdahulu yang didakwa tidak telus dalam menguruskan peruntukan yang diberikan kepada SEDIC.

Bagi sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pula, soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (PH-Bagan Serai) dijangka menarik perhatian apabila meminta Menteri Kewangan menyatakan faktor rokok seludup dan vape masih berleluasa sedangkan kementerian menyedari akan kerugian berbilion-bilion setiap tahun kerana gagal dalam kutipan cukai.

Usai sesi tersebut, Dewan Rakyat akan diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bermula hari ini sehingga minggu kelapan persidangan.

Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU itu bagi peringkat dasar selepas dibahaskan selama 12 hari sejak 14 Oktober lepas.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember.

– BERNAMA


Pengarang :