Juwairiya Zulkifli (empat, kiri) merasmikan Forum Adakah Malaysia Selamat Untuk Wanita dan Pelancaran Kempen Berani Bersuara di Comman Ground, Jaya One Petaling Jaya. pada 30 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

IWB lancar kempen Berani Bersuara: Bangkit Lawan Rogol

PETALING JAYA, 30 NOV: Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor hari ini melancarkan Kempen Berani Bersuara: Bangkit Lawan Rogol sempena ‘16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender’ yang dianjurkan di seluruh dunia bermula 25 November hingga 10 Disember.

Pengerusinya, Juwairiya Zulkifli berkata, kempen yang menyasarkan golongan wanita, kanak-kanak dan masyarakat awam dilakukan secara dalam dan luar talian itu bertujuan mendidik golongan berkenaan tentang isu rogol serta kompleksitinya selain konsep keizinan, hubungan kuasa yang tidak seimbang, persetujuan juga menghormati tubuh individu.

“Menurut statistik yang dikeluarkan Polis, terdapat 7,704 kes rogol dan 1,315 kes sumbang mahram direkodkan dari 2015 hingga Oktober 2019.

“Oleh kerana angka yang membimbangkan ini, IWB mahu mendidik lebih ramai mangsa berani tampil ke hadapan untuk melaporkan kes rogol yang sebelum ini menjadi rahsia.

“Di sini kita lihat banyak jenis keganasan berlaku setiap hari kepada wanita dan kanak-kanak. Ia relevan untuk dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Kempen berkenaan di Common Ground, Jaya One, di sini.

Juwairiya berkata, masyarakat perlu diberi kefahaman untuk bertindak dan mengambil tahu apa yang berlaku disekeliling mereka.

Malah, katanya, akta yang melindungi mereka dan proses mahkamah perlu diketahui supaya mereka tidak boleh dimanipulasi mana-mana pihak sepanjang proses mendapatkan bantuan.

“Kajian oleh Centre of Governance and Political Studies bertajuk The Question of Sex In Malaysia mendapati bahawa 65 peratus lelaki yang ditemu ramah tidak mengetahui bahawa persetujuan perlu melalui persetujuan verbal.

“Dapatan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan masyarakat gagal memahami konsep keizinan dan autonomi wanita untuk mengatakan ya atau tidak kepada hubungan seks,” katanya.

Juwairiya Zulkifli berucap pada Majlis Perasmian Forum Adakah Malaysia Selamat Untuk Wanita dan Pelancaran Kempen Berani Bersuara di Comman Ground, Jaya One Petaling Jaya. pada 30 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Justeru, bagi menangani isu berkenaan, beliau menyeru masyarakat sama-sama campur tangan dan bertindak dengan kes yang berlaku di sekeliling.

“Kita juga menjangkakan melalui kempen ini, lebih ramai mangsa tampil ke hadapan dan pendidikan asas sentuhan yang dibenarkan serta apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku insiden dimasukkan sebagai kurikulum pendidikan di peringkat sekolah.

“Jawatankuasa penduduk kawasan perumahan bandar dan kampung menubuhkan sistem untuk menguruskan aduan kes keganasan seksual dapat ditubuhkan,” katanya.


Pengarang :