Hee Loy Sian
AGENDANASIONAL

Jajaran ECRL hanya libat empat daerah di Selangor

SHAH ALAM, 8 NOV: Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya melibatkan empat daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan Klang yang akan merentasi negeri itu dalam anggaran lebih kurang 50 kilometer.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, jajaran ECRL yang terdahulu pernah dicadangkan untuk merentasi kawasan Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) di daerah Gombak.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan pembentangan daripada Malaysia Rail Link Sdn Bhd cadangan jajaran terbaharu ECRL tidak lagi merentasi daerah berkenaan.

“Dengan itu, adalah jelas bahawa laluan ini tidak lagi merentasi PKGS di Gombak.

“Justeru, hasrat negeri untuk memelihara tapak PKGS dapat dikekalkan dan boleh dimartabatkan sebagai tapak Geopark,” katanya.

Beliau (PAKATAN-Kajang) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Saari Sungib (PAKATAN-Hulu Kelang) di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, selepas mengambil kira kepentingan PKGS melalui beberapa rundingan Kerajaan Negeri bersama pihak terlibat, Malaysia Rail Link Sdn Bhd membuat pembentangan projek Jajaran terbaharu ECRL di Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 11 Julai lalu.

Katanya, pada 23 September lalu pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd juga membentangkan Jajaran terbaru ECRL di PLANmalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor.

“Kesimpulannya, walau di mana tapak PKGS berada di Tapak Geopark UNESCO atau Tapak Warisan Geopark Kebangsaan pihak Kerajaan Negeri akan memastikan ia tetap akan terpelihara.

“Ini menunjukkan komitmen yang tinggi oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan PKGS sebagai warisan negeri terus dipelihara dan dinikmati oleh generasi yang akan datang,” katanya.


Pengarang :