PBTSELANGOR

JAKESS anjur Seminar Kefahaman Undang-undang Syariah

SHAH ALAM, 23 NOV: Seramai 500 peserta menyertai Seminar Kefahaman Undang-undang Syariah Siri ketiga peringkat Kuala Langat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Kuala Langat, di sini, hari ini.

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dalam kenyataan memaklumkan, seminar itu dianjurkan sebagai usaha memberi kesedaran dan kefahaman yang betul berhubung hak diperuntukkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 [Akta 521].

Katanya, ia juga antara inisiatif JAKESS bagi memberi kefahaman kepada umum bagi membendung kes penganiayaan terhadap wanita dan kanak-kanak.

“Usaha ini diambil berikutan kadar kefahaman masyarakat Islam terhadap perundangan Syariah masih berada di tahap yang sangat rendah.

“Selain itu, ia juga bagi membendung daripada berlakunya penganiayaan khususnya kepada isteri dan anak-anak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Program yang bermula dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengahari itu mengupas dua topik utama iaitu Pembubaran Perkahwinan Menurut Undang-undang Keluarga Islam dan Hak-hak Selepas Penceraian.

Selain ceramah, turut diadakan pameran serta kaunter rundingcara berkenaan perundangan dan kehakiman syariah.

Manakala, peserta pula terdiri daripada kalangan penjawat awam dan swasta, guru, imam dan nazir masjid, badan bukan kerajaan, pelajar dan orang awam dari sekitar Kuala Langat.


Pengarang :