AGENDANASIONAL

JAKIM: Waktu subuh lewat lapan minit babit seluruh negara

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-116 memutuskan perubahan waktu solat subuh yang dilewatkan lapan minit membabitkan seluruh negara.

Mesyuarat yang bersidang pada 20 dan 21 November itu memutuskan permulaan waktu solat subuh di negara ini menggunakan parameter altitud matahari pada 18° di bawah ufuk yang menyebabkan perubahan waktu solat berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata keputusan itu berdasarkan penyelidikan komprehensif selama setahun jabatan berkenaan bersama beberapa pakar.

Katanya ia membabitkan Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Teknologi Mara dalam menentukan hukum nilai altitud matahari di bawah ufuk bagi penentuan awal waktu solat subuh di negara ini.

“Hasil penyelidikan itu turut dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa (JPPF) pada 17 September lalu dan Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan pada 17 hingga 19 September.

“Ia membabitkan panel pakar falak, pensyarah universiti, pegawai falak seluruh negara dan persatuan serta individu dalam bidang falak.

“Dari segi prosedur dan proses di peringkat Persekutuan, JAKIM sebagai urusetia MKI dan Jawatankuasa Muzakarah MKI akan mengangkat semua keputusan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk makluman Mesyuarat MKI yang dipengerusikan Perdana Menteri yang ahlinya adalah Menteri Besar dan Ketua Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Nordin berkata penyelidikan itu akan disembah maklum untuk perkenan Majlis Raja-Raja selaras peruntukan bahawa hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Katanya walaupun penyelarasan dalam pelaksanaan keputusan itu perlu dibuat di seluruh negara, namun kata putus adalah tertakluk kepada setiap negeri.


Pengarang :