Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jangan berdiam diri terhadap diskriminasi minyak sawit

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Malaysia dan negara-negara pengeluar minyak sawit lain tidak boleh berdiam diri atau teragak-agak untuk mengambil tindakan balas sekiranya negara pengimport memilih untuk mengenakan halangan perdagangan yang berdiskriminasi, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sekiranya ada sebarang bukti amalan perdagangan berdiskriminasi seperti itu melanggar mana-mana undang-undang antarabangsa, Malaysia dan negara-negara pengeluar lain yang berada di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) perlu mendapatkan intervensi daripada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2019 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, hari ini

Dr Mahathir berkata, Malaysia dan negara-negara pengeluar minyak sawit lain sedang meningkatkan usaha untuk menyebarkan maklumat tepat mengenai perladangan minyak sawit lestari bagi menangkis dakwaan palsu berkaitan minyak sawit dengan fakta yang kukuh dan boleh dipercayai.

Sementara itu, beliau berkata, meskipun penghapusan manfaat cukai ke atas minyak sawit oleh kerajaan Perancis, Malaysia masih terus menerima permintaan minyak sawit dari negara itu.

Pada Jumaat lepas, penggubal undang-undang Perancis mengundi untuk menghapuskan manfaat cukai bagi penggunaan minyak sawit sebagai biofuel, susulan bantahan daripada aktivis alam sekitar terhadap keputusannya menggunakan tanaman itu sebagai biofuel sehari sebelumnya.

Pada masa hadapan, Dr Mahathir berkata, industri minyak sawit perlu mengguna pakai dan melengkapkan dirinya dengan teknologi terkini dan inovasi untuk kekal berdaya saing dan relevan.

“Teknologi baharu yang diserapkan ke dalam keseluruhan rantaian nilai perlu menjadi pemangkin bagi pemodenan keseluruhan industri, menjadikannya lebih produktif dan cekap di samping meningkatkan pertumbuhan dan tokokan nilai.

“Mustahak bagi industri untuk beralih kepada penjenteraan dan memanfaatkan teras teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), yang tidak hanya meningkatkan keseluruhan kecekapan operasi industri tetapi juga membawa kepada pembangunan lestari, di mana operasi ketepatan jelas dicerminkan dalam bentuk pengurangan input buruh dan produktiviti yang bertambah baik,” katanya.

Mengenai penggalakan minyak sawit lestari, Perdana Menteri berkata, negara akan terus berusaha mempromosikan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) sebagai jenama kelestarian Malaysia dan memastikan ia diiktiraf dan diterima di peringkat antarabangsa.

“Penting bagi industri minyak sawit kita termasuk pekebun kecil, untuk mengamalkan pertanian yang baik dan memastikan industri yang lestari.

“Bagi membantu pekebun kecil, saya telah memberi mandat sebuah syarikat berkaitan kerajaan untuk bekerjasama rapat dengan pekebun kecil dalam usaha meningkatkan penggunaan pensijilan MSPO sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan lestari syarikat itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau juga akan menggalakkan lebih banyak pemain industri utama untuk menjalankan tanggungjawab korporat mereka dengan membantu pekebun kecil mencapai pensijilan MSPO.

Pada Oktober 2019, 60 peratus daripada kawasan ditanam kelapa sawit Malaysia dan 72.6 peratus daripada 448 kilang sawit telah mendapat pensijilan MSPO.

PIPOC 2019 yang bertemakan “Mengimbangi Teras Kelestarian” menumpukan kepada penyelidikan terkini dan amalan lestari untuk membangunkan industri minyak sawit global mampan dalam berdepan dengan tuduhan negatif yang berterusan daripada aktivis anti minyak sawit.

– BERNAMA


Pengarang :