Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Tan Sri Tony Fernandes pada Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-43 di UPM, Serdang pada 16 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

`Jangan biar orang lain tentu masa depan kita’ – Tony

SERDANG, 16 NOV: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-43, di sini, hari ini.

Anugerah yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu diberi kepada Tony kerana sumbangan dan jasa ahli perniagaan itu kepada masyarakat dan negara.

Tokoh korporat itu dalam sembah ucapan merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak universiti, selain menganggap ia sebagai detik paling bersejarah dalam kehidupannya kerana pertama kali mendapat anugerah terbabit.

Berkongsi petua kejayaan, katanya, beliau sentiasa mengikut rasa hati dalam membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah membiarkan orang lain menentukan masa depannya.

“Semasa berusia sekitar 13 tahun, saya menanam cita-cita untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan (Qantas), pasukan Formula One (Williams) dan pasukan bola sepak (Westham United).

“Kini ketika usia saya 55 tahun, saya memiliki AirAsia, pernah memiliki pasukan Formula One Caterham dan pasukan bola sepak Queens Park Rangers,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan hadirin supaya jangan sesekali takut dengan kegagalan memandangkan ia adalah perkara biasa dalam kehidupan.

“Saya sendiri pernah gagal dalam kehidupan dan membuat kesilapan dalam keputusan, namun saya belajar daripada kesilapan itu. Pasukan Formula One saya tidak berjaya, tetapi saya gembira membuat keputusan untuk menceburinya.

“Saya gagal tetapi saya akan menyesal jika saya tidak melakukannya. Ini kerana kita hidup hanya sekali dan masa tidak dapat diputar kembali untuk kita melakukan apa yang kita mahu lakukan,” katanya.

Selain AirAsia dan AirAsia X, anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut memegang jawatan dalam Lembaga Pengarah beberapa syarikat senaraian awam dan sendirian berhad serta agensi kerajaan.

Beliau juga adalah Lembaga Pengarah Crescent Point Group, Caterham Cars Ltd, Tune Air Sdn Bhd, Tune Group, Tune Hotels Sdn Bhd, Loftus Road PLC dan Tune Insurance Labuan Ltd.

Malah, beliau berada dalam senarai Lembaga Pengarah di Capital OCA Bhd, Tune Money Sdn Bhd, Caterham Composites Ltd, Caterham Tech (M) Sdn Bhd, Dinato Racing Limited dan Epsom College Malaysia Sdn Bhd.


Pengarang :