AGENDA NASIONAL

JAS gubal akta baharu ganti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

KOTA KINABALU, 6 NOV: Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sedang menggubal akta baharu, yang dinamakan Akta Perlindungan Alam Sekitar bagi menggantikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS, Wan Abdul Latif Wan Jaafar berkata draf penggubalan akta baharu itu sudah siap dan sedang diteliti semula sebelum dibawa ke Parlimen, tahun hadapan.

Akta baharu itu katanya diperluas dari segi skop berbanding akta sedia ada yang meliputi pencemaran alam sekitar membabitkan udara, air dan buangan toksik bahaya sedangkan banyak bahan pencemaran baharu dikesan, namun tidak termasuk dalam akta itu.

“Penggubalan akta baharu itu telah mengambil kira semua pencemaran tersebut dan juga isu semasa antaranya pembangunan meningkat dan banyak perkara kita lihat,” katanya selepas merasmikan Seminar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selama dua hari bermula hari ini dan disertai 570 peserta.

Beliau berkata, akta baharu juga bagi memperkukuh pelaksanaan tugas-tugas JAS selaras dengan perkembangan terkini pengurusan dan isu alam sekitar termasuk penggunaan teknologi kawalan pencemaran yang terbaik serta obligasi negara terhadap konvensyen antarabangsa.

“Dalam hubungan ini ada dua perkara penting, pertama skop bidang kuasa diperluaskan dengan mengambil kira isu pencemaran semasa dan bahan pencemaran baharu. Kedua kita tingkat hukuman dan denda lebih berat bagi kesalahan berkaitan alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Latif berkata, kajian yang dijalankan bagi penstrukturan baharu zon penampan kawasan industri di Pasir Gudang Johor supaya tidak terlalu hampir dengan kediaman masih belum dimuktamadkan.

Katanya, kajian itu yang dijalankan oleh beberapa pakar bagi mewujudkan zon penampan antara kawasan industri dengan penempatan serta kawasan sekolah susulan insiden pencemaran udara di kawasan tersebut.

Menurutnya, kawasan industri Pasir Gudang telah lama wujud namun perumahan dan sekolah dibina menghampiri kawasan industri.

“Dalam kajian itu turut dilihat untuk memindahkan kawasan industri dan sekolah yang berletak berdekatan supaya jarak antara industri dan kawasan penempatan dan sekolah selamat.

“Kajian masih belum muktamad sebelum dibentang kepada kerajaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :