Ng Sze Han pada Majlis Perasmian Pembukaan Jejantas Baharu Bandar Puteri Puchong pada 16 November 2019.
EXCOSELANGOR

Jejantas Bandar Puteri Puchong kurangkan kesesakan

OLEH ALIFF HAIKAL

PUCHONG, 16 NOV: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) memperuntukkan RM70 juta membina jejantas baharu dan kerja-kerja menaik taraf jalan di Bandar Puteri Puchong bagi mengurangkan kesesakan dan memberi kemudahan kepada orang ramai di kawasan tersebut.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, projek pembinaan jejantas itu telah dimulakan pada 2016 merangkumi dua peringkat dan telah siap sepenuhnya pada bulan lalu.

“Fasa pertama membabitkan perlebaran bahu jalan di Lebuhraya Puteri berhadapan dengan Citibank yang menelan kos RM23 juta.

“Fasa kedua kerja-kerja menaik taraf laluan motosikal menghala ke Bandar Puteri dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) ke USJ, Shah Alam, Putrajaya, Cyberjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Jejantas Baharu Bandar Puteri Puchong oleh IOIPG bertempat di Jejantas Bandar Puteri Puchong, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, Timbalan YDP Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Zulkurnain Che Ali dan Pengarah Wilayah Tengah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Hadzmir Yusoff.

Sze Han berkata, pada fasa kedua juga kerja-kerja menaik taraf laluan pusingan U di jejantas Bandar Puteri Puchong bakal dilakukan.

Katanya, projek pembinaan jejantas dan menaik taraf jalan ini akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat yang tinggal di kawasan Bandar Puteri dan pengguna yang melalui LDP.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi IOIPG, Teh Chin Guan berkata, pihaknya yakin pembinaan jejantas baharu ini akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di laluan tersebut.

“Jejantas baharu ini juga bakal menjadi mercu tanda baharu Puchong,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan menyiapkan dua lagi projek baharu iaitu melebarkan lebuh raya di Puteri 8 dan pembinaan jejantas baharu menghala ke Rio City yang dijangka siap pada hujung tahun hadapan.

“Projek naik taraf sistem pejalan kaki dari Bandar Puteri 1 menghala ke Bandar Puteri 2 juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.


Pengarang :