Hee Loy Sian merasmikan Program Jelajah 360º Smart Selangor Edisi Khas Sempena Istiadat Konvokesyen ke-14 di Universiti Selangor, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 29 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Jelajah 360º Smart Selangor bakal teroka bandar

OLEH ALIFF HAIKAL

BESTARI JAYA, 29 NOV: Karnival Jelajah 360º Smart Selangor anjuran Kerajaan Negeri bakal diteruskan tahun hadapan dengan memfokuskan kepada kawasan bandar dan luar bandar.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata program dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu menjadi landasan kerajaan memperkenalkan produk untuk manfaat rakyat.

“Kebanyakan rakyat terutama di kawasan luar bandar kurang menerima pendedahan berhubung produk Kerajaan Negeri seperti Smart State dan Smart Parking.

“Oleh itu, kita akan terus komited mempromosi Smart Selangor dalam menyampaikan agenda Kerajaan Negeri kepada rakyat dan menyeimbangkan destinasi program membabitkan kawasan bandar dan luar bandar pada masa hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada perasmian Jelajah 360º Smart Selangor Edisi Khas Sempena Istiadat Konvokesyen Ke-14 Universiti Selangor (UNISEL) 2019 di kampus Bestari Jaya di sini hari ini.

Antara pengisian program ialah Santai@UNISEL, Zumbathon, Soopa Doopa, Bumble Bee, Ultraman, Upin & Ipin Store, e-sukan dan cabutan bertuah.

Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata pemilihan universiti terbabit sebagai destinasi program dapat menaikkan imej UNISEL sebagai pusat pengajian awam berkualiti selaras institusi lain.

“Ia sekali gus dapat menarik minat masyarakat terutama pada istiadat konvokesyen ke-14 yang bakal berlangsung hujung minggu ini,” katanya.


Pengarang :