AGENSISELANGOR

Jom kunjungi Jelajah 360 Smart Selangor di UNISEL

SHAH ALAM, 22 NOV: Orang ramai terutama penduduk negeri ini dijemput untuk sama-sama memeriahkan Jelajah 360 Smart Selangor yang bakal berlangsung di Universiti Selangor (UNISEL), kampus Bestari Jaya.

Jelajah edisi khas yang terakhir pada tahun ini akan berlangsung lima hari bermula 28 November ini sempena Istiadat Konvokesyen UNISEL kali ke 19.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, jelajah berkonsep karnival itu adalah anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan kolaborasi Universiti Selangor (UNISEL) serta Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program tersebut bagi memberi keseronokan kepada pengunjung bermula jam 9 pagi hingga 10 malam.

“Antara aktiviti itu ialah Trak Realiti Maya Smart Selangor 2025, Alami Smart Selangor, Smart Busker, Jom Lepak di PPAS, Smart Bazaria bola keranjang dan Smart Digital Infrastructure.

“Selain itu, penganjur juga menyediakan pelbagai gerai pameran, program Santai@UNISEL, kaunter pendaftaran UNISEL, Zumbathon, Soopa Doopa, Bumble Bee & Ultraman, Upin & Ipin Store, e-sukan dan cabutan bertuah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Hasril berkata, tidak ketinggalan kepada peminat bola sepak, mereka berpeluang untuk bertemu dengan pemain Selangor pada program tersebut.

Menariknya, beliau berkata, orang ramai juga berpeluang mendapatkan diskaun yuran pengajian bagi mereka yang ingin mendaftar melanjutkan pengajian di UNISEL.

Katanya, jelajah itu memberi pendekatan secara terus khususnya dalam mempromosi Smart Selangor dan menyampaikan intipati agenda Kerajaan Negeri kepada rakyat di negeri ini.

“Terima kasih MBI dan kita berharap program ini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan adanya capaian maklumat menerusi dalam talian,” katanya.

Untuk rekod, Jelajah 360 Smart Selangor sebelum ini sudah berlangsung di Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Kuala Langat, Sabak Bernam, Kajang dan Klang.


Pengarang :