Datuk Seri Shaharuddin Khalid. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JPJ cari pendekatan baharu tangani isu basikal lajak

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mencari pendekatan baharu bagi menangani isu basikal lajak yang semakin berleluasa di negara ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, JPJ secara dasarnya mempunyai peruntukan Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 yang memberikan kuasa kepadanya untuk menilai isu itu sebelum sebarang tindakan diambil.

“Dalam peraturan JPJ, setiap basikal yang berada di atas jalan raya hendaklah dikayuh secara beriringan, bersopan serta tidak melulu.

“Oleh itu, basikal yang dikayuh di atas jalan raya tanpa secara beriringan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi bersepadu JPJ Kuala Lumpur di Jalan Bangsar, di sini, awal pagi ini.

Selain itu, dalam terma JPJ sesebuah basikal mestilah bersifat secara menyeluruh atau sempurna iaitu perlu mempunyai brek, loceng, lampu, rantai serta tayar yang bersesuaian.

“JPJ akan pergi secara teknikal dahulu dan sedang memikirkan pendekatan yang bersesuaian untuk memastikan bahawa kesejahteraan di atas jalan raya berhubung isu basikal lajak dapat ditangani secara menyeluruh dan advokasi,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata basikal lajak iaitu basikal yang diubah suai sehingga mendatangkan bahaya kepada penunggangnya dan pengguna jalan raya yang lain sememangnya haram berada di atas jalan raya.

Pada 29 Oktober lepas, media melaporkan satu klip rakaman video memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya yang tular di media sosial di Tasik Tambahan, Ampang, di sini.

Berikutan itu, perkara berkenaan mendapat respons daripada pihak polis yang menghantar anggota penguat kuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk melakukan pemantauan di tasik berkenaan.

Hasil pemantauan berjaya membawa kepada penahanan empat buah basikal lajak bersama penunggang yang kesemuanya remaja lelaki tempatan berumur lingkungan 11 hingga 15 tahun.

-BERNAMA


Pengarang :