Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JPJ, MIROS lihat cara kawal selia basikal lajak

PUTRAJAYA, 5 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan melihat aspek cara mengawal selia basikal lajak, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Menurutnya, basikal lajak, yang fenomenanya menjadi satu masalah kepada orang awam serta membahayakan nyawa kanak-kanak dan pengguna jalan raya yang lain, pada masa ini tidak dikawal selia oleh mana-mana undang-undang dan ia turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet lepas.

Bercakap kepada media selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini, Loke berkata perlu ada tindakan komprehensif yang meliputi pelbagai kementerian dan agensi untuk merangka satu peraturan dan rangka yang dapat mengatasi masalah basikal lajak itu.

“Kita kena lihat bagaimana untuk melaksanakan kawal selia itu, sama ada menggunakan undang-undang sedia ada, perlukan pindaan undang-undang atau undang-undang yang baharu.

“Belum sampai ke tahap itu (draf undang-undang),” katanya ditanya tentang perlunya wujud undang-undang untuk diambil tindakan terhadap pihak terlibat secara langsung mengubah suai basikal lajak.

Ditanya sama ada kawal selia itu turut membabitkan pindaan Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Loke berkata rangka penyelesaian masalah berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh.

“Kebanyakan terlibat adalah kanak-kanak, bagaimana kita nak rampas basikal itu dan sebagainya, jadi kena lihat sama ada praktikal atau tidak. Itu sebabnya kita kena lihat keseluruhan akta itu dan juga apa lagi peruntukan atau pindaan yang diperlukan.

“Jadi rangka bagaimana untuk menguruskan dan mengawal selia termasuk tanggungjawab ibu bapa dan sebagainya perlu dilihat secara keseluruhan,” katanya.

Perbincangan dengan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan dilakukan dan ia memerlukan masa untuk melihat hala tuju berkaitan basikal lajak itu, katanya.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan komited mempertahankan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) selepas berjaya mempertahankan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi penggal 2019-2022, untuk meningkatkan profil negara di arena antarabangsa.

Dengan kedudukan strategik Malaysia di Selat Melaka dan Laut China Selatan serta kepentingan sektor maritim menyumbang kepada ekonomi negara, Loke berkata adalah penting untuk Malaysia mempertahankan kerusi itu supaya dapat bersama-sama merangka undang-undang antarabangsa berkaitan maritim dengan ahli majlis.

-BERNAMA


Pengarang :