Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JPJeBid jana RM47 juta dalam tujuh bulan

SEREMBAN, 20 NOV: Sistem bidaan nombor pendaftaran secara dalam talian Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJeBid) berjaya menjana hasil RM47 juta dalam tempoh tujuh bulan pelaksanaannya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata hasil itu diperoleh daripada penjualan 39 siri nombor pendaftaran dengan purata kutipan bagi setiap siri sebanyak RM1.2 juta.

“Sistem JPJeBid ini mula dilaksana secara berperingkat sejak April lalu dan hari ini Negeri Sembilan menjadi negeri terakhir atau negeri ke-13 yang kita lancarkan pelaksanaan sistem ini dengan siri NDN, sekali gus merealisasikan sasaran pelaksanaan sistem itu di seluruh negara.

“Jadi hanya dalam tempoh tujuh bulan ia dilaksanakan, kutipan hasil mencecah RM47 juta melalui bidaan bagi 39 siri nombor pendaftaran dengan siri ALL merekodkan hasil sebanyak RM3.4 juta manakala nombor bidaan tertinggi iaitu ALL 1 pada harga RM278,000… ini merupakan satu pencapaian yang saya rasa amat baik untuk meningkatkan hasil kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Siri NDN melalui sistem JPJeBid di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata pelaksanaan sistem bidaan atas talian itu juga bukan sahaja untuk meningkatkan hasil kerajaan di samping memudahkan orang ramai tetapi juga dapat mengelakkan berlakunya ketirisan.

“Berdasarkan kaedah manual sebelum ini, ketirisan direkodkan sebanyak RM60 juta dalam tempoh tiga tahun iaitu pada 2016 sebanyak RM21 juta; 2017 RM17 juta manakala tahun lepas RM22 juta, ketirisan ini berlaku apabila seseorang itu tidak membayar baki 50 peratus daripada nilai bidaan dan ini mungkin kerana nombor yang telah mereka bida tidak ada pembeli dan sebagainya,” katanya.

Katanya, dalam tempoh tujuh bulan pelaksanaan sistem JPJeBid itu, seramai 109,361 orang telah membuat pendaftaran dalam sistem tersebut dan mereka boleh membuat bidaan bila-bila masa sahaja yang mereka mahu tanpa perlu membuat ‘deraf bank’ sebagai deposit dan sebagainya.

Loke optimis bahawa sistem itu akan menjadi contoh di kalangan negara ASEAN yang lain dengan melihat pendekatan yang dipraktikkan negara ini.

Mengenai pelancaran bidaan nombor pendaftaran bagi siri NDN hari ini, Loke berkata bidaan akan dibuka pada 28 November ini bermula 12 tengah malam hingga 2 Disember 11.59 malam melalui aplikasi dalam telefon bimbit atau laman sesawang JPJeBid, dengan kaedah pembayaran menggunakan kad kredit atau kad debit.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan diperkukuhkan lagi struktur organisasinya dan pihaknya juga akan mengambil langkah sewajarnya bagi memperkuatkan CAAM sebagai memenuhi penemuan audit yang dibuat Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).

FAA sebelum ini menurun taraf CAAM daripada kategori satu kepada kategori dua sekali gus menjejaskan imej penerbangan negara.

-BERNAMA


Pengarang :