AGENDANASIONAL

Jual kepada warga asing melalui program rumah kedua

SHAH ALAM, 20 NOV: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan rumah mewah yang tidak terjual boleh dijual kepada ekspatriat berkelayakan mengikut mekanisme sedia ada melalui program Malaysia My Second Home (MM2H).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata langkah itu bagi memastikan lambakan rumah mewah dapat diatasi, sekali gus membantu merancakkan kembali ekonomi negara.

“Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Suku Kedua 2019, terdapat 4,213 atau 12.8 peratus rumah mewah berharga RM1 juta ke atas dengan nilai RM8.3 bilion tidak terjual di negara ini.

“Sehubungan itu, penjualan rumah mewah kepada warga asing dapat mengurangkan lambakan unit rumah mewah sedia ada serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaaan lisan dikemukakan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan transaksi jual beli hartanah kediaman yang dikeluarkan NAPIC, jumlah pemilikan rumah oleh warga asing amat rendah, iaitu sebanyak 398 orang atau 0.4 peratus berbanding pemilikan warga Malaysia iaitu 99,524 orang atau 99.6 peratus bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini.

Zuraida berkata secara keseluruhan, transaksi itu menunjukkan pasaran hartanah kediaman bagi warga asing masih terkawal.

Pada masa sama, katanya kerajaan komited untuk menyediakan perumahan khususnya bagi golongan B40 dan M40 melalui beberapa inisiatif.

“Antaranya penyediaan 1 juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, skim pembiayaan dana RM1 bilion oleh Bank Negara Malaysia serta pemanjangan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam,” katanya.


Pengarang :