AGENDANASIONAL

Kad data dokumentasi warga asing tidak diiktiraf

PUTRAJAYA, 3 NOV: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengiktiraf kad data dokumentasi warga asing yang dikeluarkan kepada warga asing di negara ini.

KDN dalam kenyataannya hari ini berkata, KDN telah membuat laporan polis bagi menafikan kaitannya dalam kegiatan pengumpulan data dan pengeluaran kad data dokumentasi bagi warga asing.

“KDN tidak pernah melantik pihak Mega Management Consultancy Sdn Bhd untuk menjalankan pengumpulan data maklumat dokumentasi pekerja asing, warga asing atau mana-mana individu yang mempunyai masalah kerakyatan di Sabah.

“Kad yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada warga asing dan tidak sama sekali akan diguna pakai dalam penentuan atau pemberian status kerakyatan oleh agensi kerajaan,” kata KDN.

Tambah kenyataan itu, KDN telah menerima maklumat berhubung kegiatan beberapa syarikat dan pertubuhan mengumpulkan maklumat, mendaftar dan mengeluarkan kad dokumentasi kepada warga asing terutamanya kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kegiatan ini semakin bergiat aktif sejak kebelakangan ini dan KDN turut menerima aduan daripada pihak majikan serta orang ramai yang keliru dan merasakan ditipu oleh ejen syarikat yang melakukan kegiatan mendaftar kad dokumentasi dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu, namun fungsi kad tersebut tidak seperti yang dijanjikan, kata KDN.

Sehubungan itu, KDN mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang bentuk pembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa membuat program bancian atau mendaftarkan kad dokumentasi kepada warga asing ini.

Menurut kenyataan itu, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan individu yang didapati bersalah melindungi PATI di Malaysia boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 bagi setiap PATI yang dilindungi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh dikenakan sebatan.

– BERNAMA


Pengarang :