AGENDANASIONAL

Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Kadar antara bank jangka pendek diunjur kekal stabil pada minggu depan berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengurangkan lebihan mudah tunai dalam pasaran tunai.

Bagi minggu yang baru berakhir, kadar rujukan semalaman Islam kekal tidak berubah pada 2.96 peratus manakala kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu masing-masing pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus.

Sepanjang minggu ini, BNM menjalankan operasi harian bagi menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan dengan mengendalikan tender termasuk pasaran wang konvensional, repo berbalik, Bil Antara Bank Islam Bank Negara dan Bil Antara Bank Bank Negara.

Jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional bagi minggu ini berkurangan kepada RM27 bilion daripada RM39.22 bilion pada minggu lepas manakala dalam sistem Islam ia susut kepada RM10 bilion daripada RM16.30 bilion sebelum ini.

Semalam, BNM mengumumkan bahawa Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) akan diturunkan kepada 3.00 peratus daripada 3.50 peratus berkuatkuasa pada 16 November, 2019, bagi memastikan mudah tunai mencukupi dalam sistem kewangan domestik.

– BERNAMA


Pengarang :